Putus tunang RM1j


Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Sudahlah mahligai diimpikan musnah, merpati dua sejoli yang pernah diikat dengan tali pertunangan kini terjebak pula pertikaian bagi mendapatkan semula barangan pemberian ketika bertunang bernilai hampir RM1 juta.

Seorang pengarah urusan sebuah syarikat komunikasi dan teknologi maklumat, Mohamad Fahizul Khairi, 53, memfailkan tuntutan ganti rugi terhadap bekas tunangnya, seorang pegawai bank, Nor Daliya Mohd Daud, 34, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Fahizul mendakwa mengalami kerugian dari segi harta benda apabila pertunangannya dengan Nor Daliya putus pada 21 April tahun lalu.

Mereka bertunang pada awal April 2007 sebaik wanita berkenaan tamat tempoh edah perceraiannya dengan suami pertama dan majlis pertunangan diadakan pada 6 Disember 2007 di Pekan, Pahang.

Nor Daliya bercerai dengan suaminya pada 9 Januari 2007 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Selepas bertunang, Mohamad Fahizul mendakwa Nor Daliya memintanya menyediakan sebuah rumah sebagai tempat tinggal mereka apabila berumah tangga kelak selain meminta dia menceraikan isterinya.

Mohamad Fahizul mendakwa dia akur permintaan itu dan membeli rumah teres dua setengah tingkat di Bandar Utama, Petaling Jaya dan disebabkan desakan Nor Daliya, dia menceraikan isterinya pada 7 April 2008, tetapi mereka rujuk kembali dalam tempoh edah.

Lelaki itu mendakwa terpaksa membuat bayaran termasuk kos pengubahsuaian, membeli barangan rumah, kos ejen hartanah dan wang deposit bagi membeli kereta Honda Civic kepada defendan berjumlah RM871,186.57.

Mohamad Fahizul mendakwa, sepanjang tempoh pertunangan itu, berlaku perselisihan faham dan pergaduhan dengan Nor Daliya kerana mengesyaki tunangnya curang.

Selepas memutuskan pertunangan, kedua-dua pihak berbincang dan mencapai persetujuan bahawa Nor Daliya akan memulangkan segala pemberian termasuk rumah teres dua setengah tingkat atas namanya berharga RM770,000.

Mohamad Fahizul mendakwa, bagi pembiayaan rumah dia mengeluarkan RM570,000 manakala NpR Daliya membuat pinjaman bank RM200,000 bagi melunaskan bakinya.

Menurutnya, pada 19 Mac lalu, Nor Daliya menghantar e-mel melalui peguam kepadanya dan memberitahu dia sudah mendapat pembeli rumah berkenaan.

Berikutan itu, Mohamad Fahizul berkata, dia khuatir bekas tunangnya itu mengambil hasil jualan rumah berkenaan tanpa merujuk kepadanya.

Dalam prosiding itu, Hakim Mohammad Adib Husain menetapkan 1 Februari tahun depan untuk keputusan bantahan awal yang difailkan Nor Daliya berhubung tuntutan itu.

Beliau menetapkan tarikh itu untuk memberi peluang kepada peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Nor Daliya bagi memfailkan hujahan balas terhadap bantahan awal berkenaan.

Pada prosiding berkenaan, bekas suami Nor Daliya, Herman Syah Abdul Rahim turut hadir untuk menemani Mohamad Fahizul.

Defendan diwakili peguam Mohamad Isa Abd Ralip.

Sementara itu, Azmi ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu pihaknya memfailkan permohonan itu pada 7 Mei lalu, manakala defendan membuat bantahan awal pada 8 Julai.

Menurutnya, dalam bantahan awal itu, defendan mendakwa pemberian itu tidak termasuk dalam tempoh pertunangan, tetapi sebagai hadiah ketika plaintif memikatnya.


Ini adalah keratan akhbar dari Harian Metro untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info.

Pertunangan Elyana

ELYANA bersama ahli keluarganya.



KALI pertama dipertemukan sekitar April 2006, kedua-duanya tidak menyangka bahawa perkenalan yang terjalin itu akan membawa mereka untuk menempuh ke alam baru.

Diikat dengan tali pertunangan dalam satu majlis yang berlangsung di Jeumpa D’ramo, Bangsar, Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu, banyak kisah-kisah yang tersimpul sepanjang tempoh tiga tahun mereka saling mengenali hati budi masing-masing.

Bagi sang jejaka, episodnya untuk melamar si gadis bukanlah semudah yang disangka.

Tiga kali lamaran cinta itu dipandang sepi, tetapi dia tidak pernah berputus asa.

Langkah demi langkah dilalui, namun akhirnya penantian tersebut membuahkan hasil sebaik si gadis menyatakan kesediaan untuk menerimanya dengan seadanya.

Begitulah kisah percintaan yang dilalui antara pemilik sebuah restoran makanan Jepun di Bangsar, Khairul Anuar Hussin, 34, dengan penyanyi dan pelakon Erneelya Elyana Emrizal, 22, atau lebih dikenali dengan nama Elyana.

Sungguhpun begitu, selain dilamar Khairul, Elyana mengakui bahawa dirinya juga pernah melamar lelaki itu.

“Dia (Khairul) memang sudah lama melamar saya. Sememangnya dalam perhubungan ada pasang surutnya.

“Satu hari, apabila lamaran itu ‘hilang’ begitu sahaja, barulah saya terfikir bahawa ia adalah sesuatu yang cukup berharga.

“Sebab itulah saya kemudiannya melamar Khairul kembali,” kata Elyana saat ditemui selepas berlangsungnya majlis pertunangannya bersama Khairul.

Pada majlis serba ringkas itu, Elyana yang kelihatan anggun mengenakan busana rekaan Datin Lynda Rahim dan Zery Zamry menerima cincin pertunangan daripada Khairul yang disarungkan oleh kakak kepada lelaki berkenaan, Razieka Hussin.

Kedua-dua keluarga bagi pihak lelaki dan perempuan juga bersetuju untuk mengikat tali pertunangan dalam tempoh setahun, manakala soal wang hantaran akan diumumkan kemudian.

Sebelum itu apabila hubungan mereka menjadi lebih erat, pada 11 April lalu, Khairul telah menghantar rombongan ahli keluarganya untuk merisik Elyana.

Ketika bertemu pada 2006, Khairul pada waktu itu langsung tidak mengetahui bahawa Elyana adalah seorang artis kerana wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Farah, seorang peniaga kecil-kecilan.

Menyambung bicara, Elyana yang bakal menemui peminatnya dalam drama terbaru berjudul Katrina Kamelia di Astro Prima tidak lama lagi berkata, dia berdoa agar dapat menjadi pasangan yang terbaik untuk Khairul.

“Selepas bertunang, perasaan gembira dan takut mula bercampur aduk dalam hati saya. Gembira kerana telah melangkah ke alam baru.

“Takut pula adalah disebabkan perasaan andai saya tidak mampu menjadi yang terbaik di sisi Khairul.

“Apa pun, saya akan berusaha untuk berubah ke arah lebih baik. Saya pun sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri biar dikata orang masih terlalu muda,” jelasnya.

Kata Elyana, Khairul adalah seorang lelaki yang baik dan penyayang termasuk menyayangi ahli keluarganya.

“Dia juga tidak menghalang saya untuk meneruskan karier seni sebaik bernikah nanti.

“Cuma, dia menasihatkan saya supaya pandai menjaga diri,” katanya sambil mengukir senyuman.

Apa kata Khairul?

Sementara itu, di pihak Khairul pula, Elyana pada kaca matanya adalah seorang wanita yang ikhlas dan natural.

“Inilah hari yang ditunggu-tunggu. Doa saya semoga semuanya berjalan dengan baik,” ujarnya yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik.

Ditanya persediaannya untuk menempuh cabaran memilih artis sebagai pasangan, Khairul menjelaskan bahawa dia sudah cukup bersedia dengan apa jua dugaan menimpa.

“Saya dan Elyana sudah berkenalan lebih tiga tahun. Biarlah apa orang hendak kata. Saya tidak memikirkan sangat kata-kata orang,” tegasnya yang terharu tatkala Elyana turut melamarnya untuk meneruskan hubungan.

Rasa syukur bapa Elyana

Selain Elyana dan Khairul, insan yang turut sama berkongsi rasa syukur dan gembira dengan majlis pertunangan pasangan itu adalah bapa kandung Elyana, Emrizal Shamsuddin, 55.

Melihat Khairul sebagai lelaki yang matang, dia juga memuji lelaki terbabit kerana banyak mengambil berat soal kehidupan Elyana dan ahli keluarganya.

“Apa yang penting, Khairul tidak kekok bercampur gaul dengan keluarga kami,” tambahnya.

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Online untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

10 minit lepas bertunang terus berkahwin


JAMIE dan Gemma.



LORDSWOOD – Satu majlis perkahwinan diadakan 10 minit selepas seorang wanita, Gemma melamar kekasihnya, Jamie Crook, lapor sebuah akhbar semalam.

Crook terpinga-pinga apabila mendengar teman wanitanya yang berusia 29 tahun itu melamarnya di hadapan 180 orang tetamu baru-baru ini.

Dia langsung tidak menyangka sambutan hari jadinya yang ke-30 di sebuah dewan serba guna di Lordswood, Britain akan menjadi hari perkahwinannya.

“Anda sering berkata akan mengahwini saya dan malam ini adalah malam untuk membuktikannya. Anda mempunyai tempoh 10 minit manakala saya menyarung gaun perkahwinan,” kata Gemma yang berdebar kerana bimbang lamarannya ditolak.

Bagaimanapun, wanita yang juga ibu kepada dua anak itu menarik nafas lega apabila Crook menerima lamaran tersebut dengan gembira.

Perkahwinan mengejut itu sebenarnya merupakan rancangan Gemma bersama rakan karibnya Zoe ketika mereka mengatur jamuan hari jadi Crook.

Mereka kemudian menempah tempat, pendaftar perkahwinan selain memilih pengiring pengantin lelaki dan perempuan dan jamuan tanpa memberitahu Crook. – Agensi

Ini adalah keratan akhbar dari Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Pautan Perkahwinan: Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, Artikel Sentral,Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-Chargezeromax.com, Manggis.info.

Mati lemas ketika mandi bersama tunang

Oleh: FARIK SALLEH

FAEZAH Mohd. Hanin (kanan) menenangkan bakal ibu mertuanya Kamariah Tugiran yang tidak dapat menahan kesedihan di rumah mayat Hospital Kota Tinggi, malam kelmarin.

KOTA TINGGI 8 Feb. – Kegembiraan seorang lelaki, Mohd. Faizal Zainuddin, 24, (gambar kecil) berkelah bersama keluarga tunangnya di pantai peranginan Batu Layar, dekat sini, bertukar tragedi apabila dia mati lemas dipukul ombak besar, petang semalam.

Dalam kejadian pukul 3.15 petang itu, Mohd. Faizal yang sedang mandi-manda bersama tunangnya dipercayai dihanyutkan ombak besar ke tengah laut.

Tunangnya, Faezah Mohd. Ithnin, 22, yang ditemui di Hospital Kota Tinggi (HKT) berkata, ketika kejadian, dia dan Mohd. Faizal sedang asyik mandi.

“Tiba-tiba datang ombak besar menyebabkan kami gagal berpaut pada batu dan ketika itu saya menyedari Mohd. Faizal sudah tidak kelihatan di sisi saya.

“Saya terus menjerit meminta tolong dan akhirnya mayat Mohd. Faizal berjaya ditemui orang ramai tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, abang Mohd. Faizal, Mohd Zainal, 28, memberitahu, kali terakhir dia menghubungi adiknya pada tengah hari sebelum kejadian.

“Saya tidak nampak sebarang perubahan pada dia, melainkan dia lebih banyak diam daripada bercakap ketika saya menghubunginya,” katanya.

Namun, Mohd. Faizal ada menceritakan kepadanya, bahawa dia bermimpi semua giginya di bahagian atas jatuh bertaburan.

“Dia secara berseloroh meminta saya supaya tidak lupa banyakkan bersedekah kepada anak-anak yatim,” ujarnya ketika ditemui di rumah mayat HKT malam tadi.

Menurutnya, seminggu lalu, adiknya itu juga gemar memotong gambar dia bersama tunangnya, seolah-olah seperti sudah mengetahui akan pergi buat selama-lamanya.

Mohd. Faizal yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik itu dijadualkan melangsungkan perkahwinan dengan Faezah pada 8 Ogos ini.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam di Felda Tenggaroh Timur 1, Mersing pagi tadi.

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain.

Nasha Aziz bersabarlah!

SEJAK akhir-akhir ini memang banyak cerita yang Joyah dengar tentang hubungannya dengan tunang, Helmi Mohd. Yusof.

Sekejap okey, sekejap tak okey. Biasalah bertunangan. Banyak cabaran dan pancarobanya.

Nasha sendiri tidak berapa lama dulu pernah mengakui bahawa berada dalam tekanan malah dia dan Helmi sedang berhadapan dengan masalah peribadi.

Tetapi katanya, mereka dalam peringkat berusaha untuk menyelesaikannya dengan sebaik mungkin. Tak sangka pula akhirnya kedua-duanya memutuskan tali ikatan itu pada awal tahun ini seperti yang didakwa abang angkat Nasha, Hamidi Aziz.

Pertunangan dengan Helmi merupakan kali kedua terputus. Sebelum ini Nasha pernah berkawan dengan Faizal Hussien dan hubungan mereka juga tidak kesampaian.

Joyah tak mampu untuk berkata apa-apa. Hanya mengharapkan Nasha berada dalam ketenangan dan mendoakan kesejahteraan Nasha.

Semoga dia tabah dalam menghadapi situasi ini dan Joyah percaya Nasha mampu menangani segala permasalahannya.

Elok juga dia bercuti ke Bali. Tenang-tenangkan fikiran.

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain.

Tuntut ganti rugi jika putus tunang

Soalan:
Saya telah bertunang Jun lalu. Tetapi tunang saya telah memutuskan pertunangan tanpa memberi sebarang alasan. Puas saya cuba bertemu dengannya untuk mendapat cerita sebenar namun tidak berjaya.

Dia memutuskan pertunangan ketika cuma tinggal sebulan lagi tarikh perkahwinan kami. Saya sungguh malu. Tambah memedihkan lagi, segala persiapan perkahwinan seperti tempahan pelamin dan kad jemputan sudah dibuat.

Tiadakah apa-apa tindakan yang boleh saya buat ke atas bekas tunang? Bagaimana pula dengan perbelanjaan yang telah saya keluarkan untuk majlis perkahwinan kami?

- Rezeki Nuraelina,

Kuala Perlis, Perlis.

Jawapan:
Pertunangan bukanlah sekadar adat yang boleh diambil ringan. Pertunangan merupakan perjanjian antara pihak lelaki dan perempuan yang bersetuju untuk menempuh alam perkahwinan bersama.

Agama Islam mengajar kita agar mengotakan janji. Berdasarkan Ayat 1 Surah Al-Maidah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, tunaikan serta sempurnakan perjanjian-perjanjian kamu.” Oleh itu, sesuatu perjanjian termasuklah perjanjian untuk berkahwin yang dibuat semasa bertunang tidaklah boleh ditamatkan melainkan adanya alasan yang munasabah.

Nabi Muhammad s.a.w juga pernah bersabda yang bermaksud: “Orang-orang Islam terikat dengan perjanjian mereka dan perkara-perkara yang mana mereka telah bersetuju.” Sahih Muslim

Undang-undang berkenaan pertunangan bagi mereka yang tinggal di Perlis ada digariskan dalam Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Perlis) 2006. Menurut peruntukan perundangan ini, terdapat dua perkara yang boleh dituntut berikutan pembatalan pertunangan.

Perkara pertama adalah pemulangan sebarang pemberian pertunangan atau nilai pemberian tersebut yang telah saudari beri kepada bekas tunang.

Perkara kedua yang boleh dituntut pula adalah jumlah wang yang telah saudari belanjakan dalam membuat persediaan perkahwinan.

Dalam kes Aishah lawan Jamaludin (1978) J H 104, defendan telah memungkiri perjanjian untuk berkahwin dengan plaintif. Oleh yang demikian, plaintif menuntut pembayaran mas kahwin sebanyak RM25 dan belanja kahwin sebanyak RM800. Plaintif juga mendakwa bahawa dia berhak menyimpan cincin pertunangan yang telah diberikan kepadanya.

Dalam penghakimannya, Mahkamah Kadi Besar Negeri Kedah bersetuju dengan hujahan plaintif. Sehubungan itu, defendan diperintahkan untuk membayar ganti rugi seperti yang dipohon oleh plaintif. Plaintif juga berhak menyimpan cincin pertunangannya.

Selain itu, mahkamah juga telah memerintahkan defendan agar membayar kepada plaintif ganti rugi bernilai RM25 bagi persalinan untuk perkahwinan dan RM400 untuk perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh plaintif untuk membaiki rumah. Kos persalinan dan membaiki rumah telah dibelanjakan oleh plaintif sebagai persiapan perkahwinannya.

Berdasarkan Seksyen 15 Enakmen tersebut dan kes Aishah lawan Jamaludin, jelaslah bahawa saudari berhak mendapatkan kembali pemberian-pemberian pertunangan (jika ada) atau nilainya.

Selain itu, wang yang sudah saudari belanjakan sebagai persiapan perkahwinan juga boleh dituntut daripada bekas tunang saudari. Ini termasuklah wang belanja untuk menempah pelamin dan kad jemputan kahwin.

Tuntutan ini boleh saudari buat ke atas bekas tunang saudari sebagai pihak yang memutuskan tali pertunangan tanpa sebab yang munasabah. Ia boleh dibuat dengan memfailkan saman dan penyata tuntutan di mahkamah syariah.

Selamat Berjaya!

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain.

Yatt sudah berpunya


SEMALAM kamus hidup Yatt atau Norhayati Hamzah mencatatkan satu peristiwa yang cukup bermakna.

Secara rasmi, dia menjadi milik orang lain. Dan secara rasminya juga Yatt membuat pengakuan dia kini merupakan tunangan orang.

Dalam satu majlis yang sederhana, pertunangan Yatt dengan Abdul Mutalib Abdul Shukor dilangsungkan dengan meriah di rumah keluarga pelakon itu di Seremban 2, Negeri Sembilan.

Selepas waktu Zuhur, jari manis Yatt disarungkan cincin pertunangan bagi menandakan termeterainya perjanjian kedua-dua mereka yang akan melangkah ke alam rumah tangga tidak lama lagi.

Yang lebih bermakna, Yatt tentunya gembira majlis itu dapat dilangsungkan juga selepas mereka menundanya pada bulan Disember lalu.

‘‘Syukurlah, akhirnya langkah pertama sebelum berkahwin dengan mengadakan majlis pertunangan dapat dilaksanakan juga,’’ katanya yang terlalu gembira dengan majlis itu.

Seperti pasangan lain, kedua mereka mengharapkan ikatan pertunangan itu akan merapatkan lagi hubungan mereka.

Mencecah usia 28 tahun, masanya sudah tiba untuk mereka serius memikirkan masa depan dan membina mahligai bahagia di alam rumah tangga.

Mengimbas kembali detik pertemuan pertama, Yatt bertemu Mutalib pada saat dirinya lara akibat kehancuran hati kerana kegagalan cintanya.

Ketika membawa hati yang remuk redam itu, Yatt meluangkan masanya untuk bermain futsal di Ampang Sport Planet.

Di situlah kedua-dua mereka bertemu apabila Yatt dan Mutalib diperkenalkan melalui seseorang.

‘‘Detik itu tidak akan saya lupakan dalam hidup ini kerana ia merupakan permulaan terhadap perjalanan kisah cinta kami,’’ kata Yatt.

Berpakaian putih, Yatt kelihatan ayu dengan solekan hasil sentuhan Fiza Zainuddin manakala pakaian seakan majlis raja sehari itu direka oleh Kasih Design, Shamnina Omar.

Malah pelamin pertunangan pula yang dihasilkan oleh Butik Pesona Anggun, Nilai seolah-olah menggambarkan ia seperti majlis nikah gantung.

Dengan 11 dulang hantaran daripada pihak lelaki, keluarga perempuan membalas 13 dulang yang antaranya terdiri daripada pakaian, manisan, kek, buah-buahan dan kasut.

Bimbang dikatakan mahu menunjuk-nunjuk, kata Yatt lebih baik dia merahsiakan sahaja mengenai jumlah wang hantaran yang diberikan oleh pihak lelaki.

Bukannya tidak mahu berkongsi dengan peminat tetapi menganggap soal wang ringgit merupakan perkara yang agak peribadi.

Cukuplah mereka berdua dan ahli keluarga sahaja yang tahu mengenai jumlah itu.

‘‘Sesetengah orang tidak kisah untuk menerangkan jumlah wang hantaran tetapi bagi kami biarlah ia menjadi rahsia.

‘‘Yang lebih penting kami tidak merahsiakan majlis ini,’’ katanya.

Tetapkan tempoh setahun

Sebagaimana biasa ketika ikatan pertunangan itu dimeterai, tentunya ramai yang akan bertanya bilakah agaknya tarikh kedua mereka untuk diijabkabulkan?

Jelas Yatt, selepas berbincang mereka mencapai persetujuan majlis pernikahan sesuai diadakan dalam tempoh setahun selepas pertunangan itu.

Seandainya dalam tempoh itu mereka merasakan ia perlu dipercepatkan, maka akan cepatlah kedua mereka untuk naik di atas pelamin.

‘‘Insya-Allah, tak lama kami bertunang. Dalam tempoh setahun keluarga menetapkan tempohnya. Seandainya dalam waktu itu kami ada tarikh yang sesuai, maka majlis pernikahan akan dilakukan,’’ ujarnya.

Berjaya sembunyikan si dia

Sebelum ini Yatt pernah mengakui hatinya sudah dimiliki tetapi enggan mendedahkan siapakah gerangan jejaka yang dimaksudkan itu.

Malah cukuplah dia hanya bercerita teman lelakinya itu bekerja sebagai pengurus di pusat sukan tersebut.

Bukannya apa kata Yatt, Mutalib hanyalah orang biasa dan bukannya artis. Adalah lebih baik dia tidak membawa kekasihnya itu ke alam glamor yang dilaluinya ini.

Jelas Yatt, perkara itu penting kerana dia tidak mahu bakal suaminya itu diheret sama sekiranya ada apa juga gosip yang melanda.

‘‘Dalam dunia hiburan ni kita tak jangka apa-apa perkara yang akan berlaku. Sebab itulah apabila orang tanya mengenainya, Yatt tidak bersedia untuk mendedahkan kepada umum.

‘‘Biarlah Yatt sendiri yang melalui gosip dan susah payah dalam dunia hiburan ini ,’’ katanya.

Walaupun berjaya menyembunyikan tunangnya itu tetapi adalah penting Yatt tidak melupakan janjinya untuk berkongsi kegembiraan majlis pertunangan dan hari bahagia nanti.

Hubungan teruji

Seperti pasangan lain yang melayari detik percintaan, Yatt tidak menafikan dia dan Mutalib juga menerima banyak ujian yang mengganggu hubungan mereka.

Sebaliknya Yatt bersyukur kerana mereka berdua dikurniakan kekuatan untuk menempuh dunia percintaan yang penuh dengan pancaroba itu.

Mengakui bukannya mudah untuk bercinta kerana kadangkala dugaan itu seolah-olah membuatkan mereka merasakan kasih sayang bagaikan perlu dinoktahkan.

Bagaimanapun menyedari setiap masalah itu akan mencapai penyelesaiannya dengan kesabaran dan permuafakatan, maka hubungan mereka akhirnya melewati juga usia tiga tahun.

‘‘Bohonglah kalau Yatt katakan hubungan kami tidak ada apa-apa masalah. Syukurlah kami mempunyai persefahaman dan masalah yang berlaku itu dapat diselesaikan dengan baik,’’ jelasnya.

Doakan rezeki melimpah

Ketika namanya sedang diukir di pentas hiburan, Yatt mengambil langkah untuk mengikat tali pertunangan sebelum berumah tangga.

Ada yang beranggapan, sebagai pendatang baru, soal percintaan atau pertunangan hendaklah disembunyikan kerana bimbang ia boleh membawa kesan terhadap populariti seseorang.

Bagaimanapun Yatt menyangkal dakwaan itu dan menganggap rezeki itu akan ada dengan usaha dan keikhlasan.

Mengambil contoh beberapa artis lain yang sudah kahwin tetapi masih popular seperti Rosyam Nor, Erra Fazira dan Ziana Zain, kata Yatt, mereka merupakan insan yang mampu mengekalkan populariti bersandarkan bakat.

Jika seseorang itu mempunyai kebolehan soal status tidak menjadi halangan untuk menjadi popular.

‘‘Sebenarnya rezeki adalah kurniaan Allah. Kalau kita belum berkahwin tetapi tidak mahu berusaha, tidak akan datang juga rezeki itu.

‘‘Yatt percaya walaupun akan mendirikan rumah tangga tetapi Yatt tetap akan berdoa agar rezeki Yatt dalam bidang lakonan bertambah,’’ katanya.

Hampir dua tahun serius dalam bidang seni sesuatu yang menggembirakan Yatt apabila dia dapat mengotakan hasratnya selama ini untuk membeli kereta dan rumah.

Lebih bererti rumah semi-D yang terletak di Seremban 2 itu dibeli hasil titik peluhnya menjadi pengacara dan berlakon drama.

‘‘Ia merupakan hadiah Yatt kepada keluarga kerana Yatt telah berjanji sekiranya ada rezeki yang lebih, Yatt tidak akan melupakan mereka.

‘‘Syukurlah baru beberapa minggu kami tinggal di rumah baru, majlis pertunangan terus diadakan,’’ katanya.

Selain menanti jadual untuk penggambaran filem Toyol Nakal arahan Z.Lokman, lebih bermakna drama terbaru Yatt akan mula disiarkan di TV3 bermula esok.

Drama bersiri berjudul Bella itu akan disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 6.30 petang menggantikan drama Spa-Q.

Yang penting katanya, peminat boleh menilai hasil kerja kerasnya itu dan tidak akan berkecil hati sekiranya ada pihak yang ikhlas untuk memberikan sebarang komen.

Ini adalah keratan akhbar dari Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Perkahwinan dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, dan lain-lain.
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.