Charles-Camilla sah suami isteri


PUTERA Charles dan Duchess of Cornwall, Camilla, meninggalkan Guildhall, Windsor selepas kedua-duanya berkahwin secara sivil di dewan tersebut semalam. Turut memerhati ialah putera-putera Charles, William (belakang kanan sekali), Harry dan anak-anak Camilla, Laura dan Tom. – Gambar AP.

WINDSOR, England 9 April – Waris takhta Britain, Putera Charles akhirnya berkahwin dengan kekasih lamanya Camilla Parker-Bowles di sebuah dewan perbandaran di sini hari ini.
Selepas menjalinkan perhubungan sulit selama 35 tahun, Charles, 56, dan Camilla, 57, melangsungkan perkahwinan mereka dalam satu upacara sivil di Guildhall di Windsor, barat London dengan dihadiri oleh 28 tetamu yang diundang khas.
Perkahwinan itu jauh berbeza dengan majlis perkahwinan Charles yang gilang gemilang dengan mendiang Puteri Diana lebih 20 tahun lalu.
Kira-kira 15,000 penduduk London dan juga para peminat dari luar berkumpul di luar Guildhall dan juga berbaris di sepanjang jalan dari dewan tersebut menuju ke istana Windsor untuk melihat pasangan pengantin baru itu secara dekat.
Sebagai perbandingan, kira-kira 600,000 berkumpul di London untuk menyaksikan perkahwinan Charles dengan Diana yang diadakan secara besar-besaran di Gereja Besar St. Paul pada Julai 1981.
Malah, perkahwinan adik lelaki Charles, Edward pada 1999, yang juga dilangsungkan di Windsor, telah menarik kira-kira 20,000 pengunjung.
Charles dan Camilla diisytiharkan sebagai suami isteri oleh pendaftar tempatan, Clair Williams dengan disaksikan oleh anak lelaki sulung kedua-dua mempelai, iaitu Putera William dan Tom Parker-Bowles.
Orang ramai yang berkumpul di luar memberi tepukan gemuruh dan mengibarkan topi dan bendera sebaik sahaja pasangan pengantin itu muncul di muka pintu Guildhall sambil bergandingan tangan setelah upacara perkahwinan selama 25 minit selesai dilangsungkan.
“Terima kasih banyak,” kata Charles yang memakai sut klasik berwarna hitam. Camilla, yang memakai kot sutera paras lutut berwarna putih gading yang menutupi baju sifonnya dan topi lebar yang dihias renda dan bulu, senyum keriangan di sisi.
Sambil melambaikan tangan, pasangan itu kemudiannya menaiki sebuah kereta Rolls-Royce menuju ke istana keluarga yang berhampiran, di mana upacara memohon restu dilangsungkan.
Ibubapa Charles, Ratu Elizabeth II dan Putera Philip tidak menghadiri upacara sivil itu seperti yang diumumkan sebelum ini.
Pasangan diraja itu bagaimanapun menghadiri upacara merestui perkahwinan anak sulung mereka itu yang diadakan di St. George Chapel di kawasan Istana Windsor.
Upacara itu kemudiannya disusuli dengan satu majlis keraian, yang dihadiri oleh lebih 700 tetamu terdiri daripada seluruh kerabat di raja Britain dan juga anggota-anggota kerabat diraja Eropah, para pemimpin, ahli-ahli politik, para pelakon dan penyanyi termasuk bintang pop, Sting.
Pasangan pengantin kemudiannya berlepas ke Scotland untuk berbulan madu di estet diraja Balmoral.
Dengan perkahwinan itu, Camilla kini bergelar Her Royal Highness The Duchess of Cornwall dan Charles kini berharap rakyat Britain yang masih setia kepada bekas isterinya, mendiang Diana supaya menerima Camilla.
Ketika rakyat Britain meraikan perkahwinan Charles dan Camilla, berpuluh-puluh peminat setia Diana hari ini meletakkan jambangan bunga di kediamannya di tengah London sebagai tanda setia dan kasih sayang mereka kepadanya.
Para peminat itu, yang kebanyakannya wanita, meletakkan jambangan bunga tulip, ros, lili dan juga bunga-bunga lain di depan pintu pagar Istana Kensington di tengah London sebagai memperingati mendiang Diana, yang meninggal dunia dalam satu kemalangan kereta di Paris pada 1977, setahun selepas perceraiannya dengan Charles. – Agensi

Dikirim dalam Pernikahan. 1 Comment »

Satu Respons to “Charles-Camilla sah suami isteri”

  1. Khairul Nizam Zainon Says:

    Hai, Anda mempunyai blog yang hebat! Saya akan bookmark blog anda!Saya ada website kerja dari rumah. Peluang kerja dari rumah di sini.Lawatilah website saya bila ada masa lapang🙂


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: