Hak wanita Al-Quran memperincikannya

DALAM masalah pembahagian faraid, seolah-olah isteri sebagai wanita tidak mendapat hak yang sepatutnya. Di samping itu ayat 11 Surah an-Nisa memberikan bahagian anak lelaki dua kali ganda bahagian anak perempuan.

Sehubungan ini, mungkin terdapat beberapa pihak yang mempertikaikan hukum yang telah ditetapkan oleh Islam dengan mengatakan bahawa al-Quran meletakkan wanita di kelas kedua. Ini kerana mereka tidak mengkaji hukum Islam secara menyeluruh. Sebagai contoh, anak lelaki diberikan bahagian dua kali ganda bahagian anak perempuan kerana lelaki dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada anak-anak dan bukannya perempuan.

Jika anak lelaki dan anak perempuan mendapat bahagian sama banyak, sedangkan anak lelaki tadi mempunyai tanggungjawab yang berlebihan; iaitu memberikan nafkah kepada isteri (menantu si mati) dan anak-anaknya (cucu si mati), sedangkan anak perempuan tidak dibebankan tanggungjawab tersebut. Sebaliknya suami beliau, iaitu menantu si mati yang di pertanggungjawabkan untuk memikul beban tersebut. Di sini jelas bahawa Islam memberikan hak bersesuaian dengan tanggungjawab.

Sebaliknya apa yang berlaku pada zaman moden ini ialah sistem kekeluargaan telah menjadi kucar-kacir kerana sesetengah wanita menuntut hak yang sama dengan lelaki tetapi mereka ingin mengekalkan tanggungjawab yang sedikit.

Sebagai contoh seorang wanita Muslim inginkan hak untuk bekerja, meninggalkan rumah dan mendapatkan gaji tetapi mereka menuntut agar suami menanggung semua perbelanjaan rumah dan menyara anak-anak sehinggakan kadang-kadang si suami terpaksa menanggung hutang yang banyak, sedangkan si isteri dapat menyimpan wang dan membeli perhiasan yang mahal.

Begitu juga dengan sesetengah pihak lelaki; mereka mahukan bahagian dua kali ganda saudara perempuan mereka tetapi menyerahkan kepada saudara perempuan untuk menjaga ibu tua yang telah kematian suami. Porak-peranda sesuatu keluarga ini terjadi berpunca daripada sikap cintakan dunia dan kebendaan dan tidak mempunyai keyakinan kepada ketetapan dan peraturan yang Allah berikan melalui al-Quran dan as-sunah.

Sesetengah pihak menyarankan agar sistem kekeluargaan dan sistem perwarisan dirombak untuk menyesuaikan dengan zaman moden, dengan mencadangkan agar bahagian lelaki diberikan sama banyak dengan bahagian wanita.

Mereka seterusnya mencadangkan juga agar wanita (isteri) hendaklah bertanggungjawab dalam memberi nafkah anak-anak dan menyediakan perbelanjaan isi rumah serta lain-lain perbelanjaan termasuk pendidikan anak-anak.

Malah inilah yang telah berlaku di Barat. Sehubungan ini, amatlah wajar bagi setiap orang menyedari bahawa Allah lebih mengetahui tentang perkara yang berkaitan dan sebijak mana pun manusia, mereka tidak dapat menandingi ilmu Allah.

Berhubung dengan harta pusaka, al-Quran menyatakan, Ini adalah ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (An-Nisa : 11). Seterusnya al-Quran menyatakan, (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syariat yang benar-benar daripada Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun. (An-Nisa : 12).

Perlu diingatkan bahawa al-Quran bukan sahaja menyatakan dengan jelas hak wanita yang terdekat iaitu ibu, isteri dan anak perempuan, tetapi juga menyatakan bahagian-bahagian untuk kaum wanita yang lain iaitu saudara perempuan. Al-Quran juga memperuntukkan hak saudara-saudara perempuan dalam keadaan-keadaan tertentu; sebagai contoh, jika si mati tidak mempunyai anak.

Sehubungan ini al-Quran menyatakan Mereka meminta fatwa kepadamu tentang kalalah. Katakanlah : Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu), jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua daripada harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang laki-laki mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika ia tidak mempu-

nyai anak; tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi kedua-duanya dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh yang meninggal. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri daripada) saudara-saudara lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah me-

nerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (An-Nisa : 176)

Ayat ini menunjukkan kepada kita seolah-olah saudara perempuan mengambil tempat anak perempuan jika si mati tidak mempunyai anak perempuan. Walaubagaimanapun, para ulama kita menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan `saudara lelaki’ dan `saudara perempuan’ ialah saudara sekandung; iaitu saudara seibu sebapa. Jika tiada saudara kandung, ia diertikan kepada saudara sebapa. Ayat tersebut tidak berlaku kepada saudara (lelaki atau perempuan) seibu kerana hak-hak saudara perempuan seibu sebapa telah dinyatakan dalam ayat 12 Surah an-Nisa:

Jika seseorang mati, sama ada lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing daripada kedua-dua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih daripada seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat (kepada ahli waris). (An-Nisa : 12)

Dikirim dalam Rencana. Leave a Comment »

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: