Adat `tol’ menyusahkan pengantin

Saudara Pengarang,
PADA 20 Ogos lepas, saya bersama rombongan keluarga saya dari Kampar, Perak tiba di kawasan rumah pengantin perempuan di Pagoh.

Inilah kali pertama jodoh salah seorang daripada keluarga kami dengan orang Johor.

Pengantin perempuan mengingatkan kontijen lelaki bahawa kami akan melalui tiga `tol’ sebelum pengantin lelaki dibenarkan bersanding.

Setibanya di kawasan rumah pengantin kami disambut oleh tol yang pertama, iaitu oleh sekumpulan kanak-kanak

Pengantin perempuan berpesan supaya memberi hanya sampul berisi wang seringgit untuk 20 orang. Pihak kami hanya menyediakan sampul untuk tol pertama sebanyak 20 keping sahaja tetapi sebenarnya pihak kami telah dikerumuni oleh hampir 35-40 orang kanak-kanak.

Terpaksalah ayah pengantin lelaki mencari sampul yang mana ada dalam kereta untuk yang selebihnya. Selesai tol pertama. Selang beberapa langkah, kami tiba pula di pintu masuk rumah pengantin perempuan untuk tol kedua. Pengantin perempuan berpesan beri hanya sampul berisi wang RM5 untuk sekitar 10 orang. Kami disambut pula oleh makcik-pakciknya, ipar duainya dan orang-orang kampung yang berpusu-pusu menadah tangan memungut tol.

Saya rasa ada dalam 25 orang agaknya. Sekali lagi pakcik saya “berpeluh”. Kelam kabut kami dibuatnya kerana selagi tak selesai bayaran dibuat kami dihalang masuk ke rumah. Terpaksalah kami anak-beranak mengumpul yang mana ada untuk selesaikan tol yang kedua. Pada masa ini ada di antara wakil kami yang jadi kecoh dan mengeluh.

Kami dibenarkan masuk ke rumah akhirnya setelah bayaran diselesaikan. Setibanya di pelamin kami bertemu pula dengan tol yang terakhir. Tol ini harus diuruskan oleh saya yang bertindak selaku pengapit kepada mak andam.

Pengantin perempuan berpesan beri hanya sampul berisi wang RM20 yang diisi dalam sekeping sampul.

Inilah tol paling “istimewa”. Dengan nada yang kuat berbaur gurauan kononnya, mak andam memberitahu saya kalau tak selesai tol yang terakhir ini tak merasa bersandinglah pengantin lelaki.

Saya menghulurkan sampul berisi RM20 kepadanya. Mak andam membelek sampul kemudian memberitahu “Ini tak cukup ni…tambah lagi..” ucapan mak andam mengundang gelak ketawa tetamu di dalam rumah.

Pihak kami malu alah. Kini giliran saya pula “berpeluh”. Saya sebagai pengapit mana la ada bawa duit lebih. Saya jeling pengantin lelaki yang sudah merah padam mukanya. Datang ibu saya dari belakang memberikan sekeping lagi sampul kepada saya lalu diserahkan kepada mak andam.

Mak andam membelek lagi sampul kemudian berkata, “Alahai..sekeping je…duit merah pulak tu..” Ucapan mak andam benar-benar mengejutkan kami semua.

Pengantin lelaki yang saya rasa meluat dengan kerenah mak andam terus bersila di tangga pengantin! Selang beberapa minit si mak andam masih berkeras menunggu `tol’ tambahan dan tidak mahu berganjak dari kerusi pengantin. Keadaan menjadi semakin gamat.

Setelah dijeling oleh bapa pengantin perempuan barulah mak andam beredar. Itupun setelah saya lihat pengantin perempuan mengalirkan air mata.

Pengantin lelaki hanyalah bekerja sebagai operator pengeluaran sebuah kilang elektronik di Ipoh. Ayahnya seorang pesara tentera.

Bajet untuk belanja yang bukan-bukan memang tak cukup.

Dengan wang hantaran, barang hantaran, sewa pelamin, pakaian, kenduri kendara, khemah, kad jemputan, pengangkutan, sewa hotel dan sebagainya,

Perbelanjaan keseluruhannya paling kurang pun mencecah RM15,000. – PENGAPIT TERSEPIT, Petaling Jaya, Selangor.

© UTUSAN MELAYU (M) BHD.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: