‘Kahwin tetap kahwin…’

Oleh Zainuri Misfar

Siti Nurhaliza tidak lagi lari-lari. Malah ketika bertemu wartawan,dia sentiasa senyum.

SITI Nurhaliza (gambar) kali ini kelihatan lebih tenang, bersahaja dan sentiasa tersenyum seolah-olah sudah bersedia dengan pertanyaan cepu mas bila hendak menamatkan zaman bujangnya.

Walaupun penyanyi yang mendapat gelaran Biduanita Muda Negara itu masih mengambil sikap berteka teki dengan gosip majlis perkahwinannya dengan seorang ahli perniagaan yang dikatakan berlangsung tahun depan, tetapi dia tidak lagi cuba mengelak wartawan.

Apabila soalan itu diajukan kepadanya ketika ditemui di majlis pelancaran album Siti Nurhaliza In Concert Royal Albert Hall, London di Hotel Istana, baru-baru ini, Siti tidak menafikan atau mengesahkan berita itu.

“Bila sampai waktunya, Siti umumkan,” katanya yang dikelilingi wartawan.

Begitupun, spekulasi mengenai hubungannya dengan ahli perniagaan terkenal bergelar ‘Datuk’ seolah-olah tidak mampu diketepikan begitu saja oleh penyanyi berumur 26 tahun ini.

“Siti serahkan soal jodoh pertemuan ini di tangan Tuhan. Tak boleh kata tidak, tidak, tidak… tiba-tiba tahun depan betul-betul jadi (berkahwin). Orang kata Siti berbohong pula. Bagi Siti, kahwin tetap kahwin, tapi tak tahu bila,” jelasnya lagi.

Ditanya sama ada perkara itu memberikan tekanan kepadanya, Siti menjawab, “Inilah realiti yang Siti kena lalui. Dulu memang agak tertekan juga. Dalam situasi begini, tak boleh hendak tetapkan sesuatu sama ada esok atau lusa (mengumumkan mengenai perkahwinannya) sebab kita tak tahu apa-apa lagi. Ini menyusahkan orang yang menantinya. Sekarang kita bertawakal sajalah.”

Sementara itu Siti Nurhaliza berharap kemunculan album Siti Nurhaliza In Concert Royal Albert Hall, London dapat mengubati kehampaan peminatnya yang tidak dapat menyaksikan konsert eksklusif selama tiga jam di kota London, pada 1 April lalu.

Namun, album itu hanya boleh didapati dalam bentuk video cakera padat (VCD) atau cakera video digital (DVD) kerana ia terikat dengan syarat yang dipersetujui dengan The London Symphony Orchestra.

“Kalau nak diterbitkan dalam CD atau kaset, kita kena bayar lebih kepada mereka.

“Perjanjian antara Siti Nurhaliza Production (SNP) dengan The London Symphony Orchestra hanya membenarkan rakaman konsert itu dikeluarkan dalam bentuk VCD atau DVD saja,” katanya.

Menurut Siti lagi, album itu mengambil masa agak panjang untuk disiapkan kerana membabitkan banyak faktor seperti menunggu pita induk (master tape) rakaman konsert itu yang dipegang Royal Albert Hall dan The London Symphony Orchestra.

Selepas itu, ia melalui proses penyuntingan, memasukkan rakaman di sebalik tabir mengenai persiapan dan menjelang konsert itu diadakan.

“Siti cuba menyiapkannya secepat mungkin. Tapi ada banyak faktor menyebabkan ia jadi lewat,” jelasnya.

Album Siti Nurhaliza In Concert – Royal Albert Hall, London mengandungi 18 lagu, tidak termasuk 14 lagu yang dinyanyikan secara medley.

[Berita Harian]

Sembang Sabtu: Shahidan tak minat beristeri dua

SPS Income - Your Way To Success

SAYA memang ada kemampuan dan cukup syarat, tetapi bagi orang lainlah. Tak berapa minat sangat.” Itulah jawapan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim apabila diajukan soalan sama ada beliau berhasrat berkahwin seorang lagi.
Walaupun sejak dulu lagi mempertahankan peraturan suami tidak perlu mendapat kebenaran isteri pertama jika mahu berkahwin lagi, Menteri Besar Perlis itu sendiri tidak berpoligami.

“Isteri saya seorang saja dan kami gembira suami isteri. Sekarang anak kami dah besar-besar, hubungan kami lagi rapat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, Selasa lalu.

Bagaimanapun, beliau menafikan tidak berbuat demikian kerana takut kepada isteri.

Shahidan mengakui beliau menerima tamparan hebat apabila mempertahankan peraturan Enakmen Keluarga Islam Perlis yang menetapkan suami tidak perlu mendapat kebenaran isteri sedia ada jika mahu menambah isteri lagi.

Dalam urusan poligami, katanya, yang penting adalah syarat untuk berbuat demikian, bukan kebenaran isteri kerana mengikuti syarat yang ditetapkan dapat menjamin keadilan.

Sebab itulah, katanya, dalam peraturan di Perlis, keputusan untuk menentukan sama ada seseorang suami boleh berpoligami atau tidak diserahkan kepada hakim.

“Tetapi semua orang salah faham mengenai Perlis. Mereka ingat di Perlis ni mudah menikah. Bukan mudah menikah, tetapi kita ikut apa yang ditetapkan Kitabullah dan sunnah rasul-Nya.

“Nak menikah di Perlis sebenarnya agak ketat kerana siapa nak berpoligami kena selesaikan dulu hal harta sepencarian dengan isteri atau isteri-isterinya. Ini sudah lama dimasukkan dalam peraturan di negeri ini,” katanya.[Berita Harian]

`Saya terima hakikat cacat seumur hidup’

TUAN AZMAN TUAN LUDIN

Oleh NIEZAM ABDULLAH

KOTA BHARU 12 Okt. – Anggota tentera, Lans Koperal Tuan Azman Tuan Ludin, 31, yang cedera parah disimbah asid oleh isterinya mengakui tidak dapat menahan sebak apabila melihat wajahnya di cermin dan terpaksa menerima hakikat kecacatan tersebut harus ditanggungnya seumur hidup.

Apa yang paling mengharukan katanya, kecacatan pada wajahnya itu menyebabkan rakan-rakan sekerja juga sukar untuk mengenalinya.

“Saya sedih apabila melihat wajah saya di cermin tetapi dalam masa yang sama saya bersyukur kerana masih mampu berjalan dan melihat walaupun saya sudah tidak seperti dahulu,” katanya di sini hari ini.

Tuan Azman mengalami penderitaan tersebut kesan akibat disimbah asid oleh Siti Khalifah Sulong, 53, pada 31 Julai lalu, semata-mata kerana melahirkan hasrat untuk berpoligami.

Akibatnya, Tuan Azman yang merupakan jurulatih taekwondo di Kem Pengkalan Chepa di sini cedera parah pada bahagian muka dan badan.

Tuan Azman terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian bagi menjalani proses penampalan kulit.

Selepas kira-kira dua bulan ditahan di wad, Tuan Azman akhirnya dibenarkan keluar dari hospital petang semalam.

Peristiwa itu menyebabkan Siti Khalifah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 30 Ogos lalu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana melakukan kecederaan parah.

Wanita itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Tuan Azman berkahwin dengan Siti Khalifah yang merupakan seorang janda beranak sembilan ketika berumur 18 tahun dan dikurniakan seorang anak perempuan, Norsafida yang kini berusia 10 tahun.

Menurut Tuan Azman, akibat perbuatan isterinya itu, mata kirinya kini kabur serta sepet sebelah. Bibirnya juga tidak boleh ditutup rapat selain kesan parut pada muka dan badan yang sukar untuk dipulihkan.

Tuan Azman memberitahu, pada masa ini dia terpaksa bergerak seperti robot disebabkan kepalanya masih tidak dapat dipusingkan kerana ketegangan kulit.

Dia juga mengakui terasa pedih pada bahagian muka setiap kali ingin membuka mulut untuk makan.

Mengenangkan kecacatan dan penderitaan itu kata Tuan Azman, dia tetap dengan keputusannya untuk menceraikan Siti Khalifah dan meneruskan hasrat berkahwin dengan gadis impiannya, Normasalina Mohd. Noor, 22.

“Apabila keadaan saya sudah baik, saya akan menguruskan penceraian saya di Mahkamah Syariah dan mengaturkan perkahwinan saya dengan Normasalina. Lagipun keluarga saya sudah pun menemui ibu bapa bakal isteri saya itu,” katanya.

Wanita & Seks: Hentikan ubat kurus badan jika hamil

Bersama Dr Mohd Ismail Tambi
dr_tambi@yahoo.com

SAYA suri rumah sepenuh masa berusia 37 tahun. Saya bertubuh gempal dan memulakan diet dalam beberapa bulan ini selain bersenam. Saya juga mengamalkan ubat penahan nafsu makan, tetapi kemudiannya disahkan hamil. Takut apa-apa terjadi pada kandungan, saya berhenti mengambil pil diet berkenaan. Apakah pil ini memberi kesan pada kandungan?

ANNA
Melalui e-mel

MEMANG seseorang itu digalakkan menjaga kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti makan makanan seimbang, melakukan senaman berkala mengikut kemampuan fizikal, mengelakkan diri daripada mengambil minuman beralkohol, tidak merokok dan menjauhkan diri dari tekanan.

Individu yang mempunyai berat badan berlebihan perlu mendisiplinkan diri, menjaga makanan dan melakukan senaman supaya berat badan berada di paras sesuai. Dia boleh melakukan apa yang dinasihati doktor.

Ubat menguruskan badan kebanyakannya memberi tekanan kepada pusat selera makan dalam otak. Jika pusat itu tertekan, selera akan menurun dan sebaliknya jika tekanan reda atau tiada. Jika secara kebetulan wanita yang sedang mengamalkan ubat untuk menguruskan badan hamil dia perlu hentikan pengambilan ubat berkenaan dan menjalani pemeriksaan kehamilan dan pemeriksaan pranatal secara berkala.

Kehamilan yang tidak sihat tidak akan berkembang dan kesudahannya seseorang wanita itu akan mengalami keguguran kandungan dalam masa tiga bulan awal kehamilan. Jika kehamilan itu berjalan lancar, tidak ada sebab kenapa seseorang wanita perlu khuatir walaupun dia ada mengamalkan ubat menguruskan badan.

Seseorang wanita itu perlu terus mengadakan pemeriksaan susulan dengan doktor.

Wanita & Seks: Sakit ketika bersama suami

Bersama Dr Mohd Ismail Tambi

SAYA berusia 28 tahun dan sudah melahirkan seorang bayi. Tetapi selepas bersalin, saya berhadapan dengan kesakitan setiap kali bersama suami. Saya berasa pedih, air juga kering dan tidak dapat meneruskan hubungan kami.


Selain itu, saya juga berhadapan dengan masalah keputihan. Adakah ini penyebab kepada keperitan itu?

Suriana Mochtar
Melalui e-mel

SAKIT sewaktu bersama dikenali sebagai dispareunia dan jika kesakitan itu berlaku ketika memulakan, penetrasi dispareunia ini dikenali sebagai dispareunia luaran dan jika kesakitan itu berlaku apabila ereksi mula bergerak ke dalam, dispareunia ini dikenali sebagai dispareunia dalaman.

Jika dispareunia luaran berlaku selepas bersalin ini kemungkinan akibat kulit kurang lembab atau kering atau akibat kulit yang radang akibat jangkitan kulat (keputihan semacam putih susu!) atau kuman (keputihan berwrna kelabu dan kekuningan!) dan jika geselan di parut yang sensitif. Kekeringkan kulit mungkin akibat kekurangan tahap hormon estrogen yang berlaku apabila wanita itu tidak datang haid lagi kerana menyusukan anak. Jadi perlu menggunakan bahan pelicin seperti jeli K-Y atau Top Gel setiap kali hendak bersetubuh.

Jika kesakitan itu akibat keradangan mukosa faraj pastikan infeksi dapat rawatan yang sewajar. Kemungkinan menghidap jangkitan kulat yis tinggi kepada wanita yang masih belum datang haid kerana menyusukan anak.

Infeksi lain boleh dikenali melalui pemeriksaan dan akan dapat diatasi dengan pemberian ubat nyahkuman yang khusus untuk jangkitan itu. Jika sakit akibat tergesel parut yang sensitif pastikan guna jeli anaesthetik(ubat kebas) untuk seketika dan apabila parut itu tidak sensitif lagi tidak perlu mengunakannya.

Anda Tanya Doktor Jawab: Pemandulan tiada kaitan barah rahim

SAYA ingin tahu sama ada cara mencegah hamil melalui streilisation (tubal ligation) mempunyai kesan negatif meningkatkan risiko barah rahim.
Adakah digalakkan untuk wanita berumur 40 tahun ke atas yang tidak mahu mempunyai anak lagi tetapi tidak sesuai menggunakan cara lain seperti pil atau IUD atau implanted hormon rod untuk menjalani sterilisation?

Amirah Ali
Melalui e-mel

Persenyawaan antara ovum (benih wanita) dan sperma (benih lelaki) berlaku di dalam saluran tiub fallopia. Oleh itu jika proses ini ingin dihalang secara kekal, proses pemandulan dilakukan dengan pelbagai cara bagi memastikan pertemuan antara dua benih ini tidak berlaku di dalam saluran tiub fallopia.

Saluran ini boleh disekat (tubal ligation) dengan klip atau ring, atau dipotong dan di �diathermised�. Proses ini adalah proses yang dianggap kekal walaupun ada juga kehamilan selepas pemandulan dilakukan.

Sebelum pasangan membuat keputusan untuk melakukan pemandulan, mereka dinasihatkan supaya perbincangan mendalam dilakukan dan kemungkinan masalah jangka panjang (seperti perceraian atau kematian) juga telah diambil kira.

Langkah ini diperlukan kerana ramai wanita menyesal setelah melakukan prosedur pemandulan dan ingin �membuka� semula (reversal procedure) tempat pembedahan di saluran tiub fallopia.

Kajian menunjukkan bahawa seramai sembilan peratus wanita menyesal melakukan pemandulan selepas 18 bulan pembedahan dilakukan dan meminta prosedur untuk membukanya semula.

Seramai 38 peratus suri rumah meluahkan rasa penyesalan melakukan pemandulan. Bagi pasangan Islam, pemandulan hanya boleh dilakukan jika kehamilan memudaratkan kesihatan ibu seperti dalam kes-kes berikut:

  • Pembedahan caesarian yang berulang-ulang. Lazimnya setelah empat atau lima pembedahan, pasangan diminta untuk melakukan pemandulan dan akan dilakukan pada masa yang sama ketika pembedahan caesarian anak yang terakhir dilahirkan.
  • Ibu berpenyakit yang teruk dan kehamilan boleh mejejaskan keselamatan ibu seperti ibu berpenyakit jantung, penyakit kencing manis yang memerlukan dos insulin yang tinggi atau penyakit darah tinggi.
  • Kehamilan dan kelahiran yang berisiko tinggi seperti ibu mempunyai sejarah tumpah darah yang teruk setiap kali selepas bersalin.

    Proses pemandulan tidak ada kaitan dengan risiko barah rahim ataupun serviks. Pemandulan juga tidak menjejaskan nafsu wanita dan juga tidak menjejaskan hubungan suami isteri. Ia tidak sepatutnya dijadikan alasan jika hubungan tidak seperti yang dijangkakan.

    Beberapa kemungkinan masalah berlaku setelah pemandulan ialah:

  • Sakit perut dan sakit semasa hubungan kelamin.
  • Gangguan kitaran haid
  • Kemungkinan kandungan luar rahim jika hamil.
  • Wanita dan Seks: Sakit ketika bersama suami

    KETIKA berrsama suami, saya selalu berasa sakit di bahagian lubang faraj semasa penetration. Saya terbaca mengenai sakit semasa penentratif yang dinamakan deparenunia. Adakah saya mengalami situasi ini?
    Disebabkan masalah ini, saya selalu cuba untuk mengelak mengadakan coitus. Sebelum mengandung juga begitu, dan selepas melahirkan anak juga begitu. Malah, selepas melahirkan anak, saya rasa lebih sakit di bahagian saluran faraj. Cecair juga berkurangan selepas bersalin walaupun saya ghairah, ini menyulitkan ‘intercourse’.

    Saya lebih suka mengadakan oral seks dan berhenti di situ selepas kami mencapai orgasm. Sekiranya berlaku ‘intercourse’, saya selalu berasa sakit dan tidak merasa apa-apa keseronokan. Hanya sekadar ingin memuaskan suami, itupun kadang-kadang terpaksa menggigit bibir menahan sakit. Adakah saya menghadapi masalah saluran kecil ?

    AMI,
    melalui e-mel

    WANITA yang mula melakukan hubungan seksual penetratif akan dapati pelbagai cabaran yang sebilangan besarnya ialah perasaan ketakutan yang terbawa-bawa dari remaja yang hubungan seksual boleh mengakibatkan kelukaan dan pendarahan akibat selaput dara terkoyak, selain daripada cabaran yang lain.

    Bayangkan keadaan yang mana wanita yang hendak memulakan hubungan penetratif tidak pernah tahu tentang faraj dan jauh lagi menengoknya, yang agak sukar sekiranya alat pembuka faraj tidak digunakan!

    Apa yang dilihatnya ialah bibir kecil dan besar yang rapat dan jika diselak, akan ternampak anggota dalaman yang dikenali sebagai ‘interoitus’ yang mana akan kelihatan pembukaan lubang kencing di atas dan pembukaan lubang faraj di bawah. Dia hanya tahu farajnya ada dan setakat itu sahaja.

    Untuk wanita yang pernah menerokai faraj dengan jari dan dapat rasa dimensi faraj dari pembukaan dan kependalaman sehingga dapat menyentuh organ seperti hujung hidung (serviks) di penghujung faraj wanita itu mungkin boleh dapat gambaran yang lebih jelas lagi tentang farajnya.

    Jika dia tinjau lebih mendalam lagi seperti mengenali yang farajnya dalam kawalannya dan dia boleh membuka (legakan kemutan) dan menutup (mengemut!) dan boleh meluaskan ruang dalam faraj jika dia hendak memasukkan benda yang luas ke dalam corong yang sempit (seperti dua jari) dia akan tahu betapa mudah untuk menguruskan farajnya ketika dia hendak melakukan persetubuhan kemudian hari.

    Ini ialah proses kesedaran kendiri wanita yang tidak dapat mengenali anggota sulitnya tidak akan tahu cara untuk menggunakannya kerana perasaan takut yang menghantuinya selama ini yang hubungan seksual menyakitkan.

    Jika dia lakukan juga atas desakan suami kerana menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dia akan lakukannya dalam keadaan terkawal dan sudah tentu tidak dapat memberi kerjasama dengan suami dan akan mengalami kesakitan dan mungkin kecederaan. Dalam keadaan ketakutan dia tidak akan dapat menghayati sentuhan yang menyeronokkan kerana mindanya sudah dimasuki perasaan ketakutan.

    Jika wanita itu mengalami kesakitan ketika bersetubuh itu dikenali sebagai dispareunia. Jika kesakitan berlaku di luar itu dikenali sebagai dispareunia luaran dan jika terasa sakit ketika ereksi bergerak di dalam itu dikenali sebagai dispareuia dalaman.

    Dalam keadaan kesakitan, wanita itu tidak akan dapat menghayati keseronokan seksual, malahan kesengsaraan. Jadi dia tidak akan dapat menikmati keseronokan syahwat selagi masalah kesakitan itu tidak dapat diatasinya.

    Dia harus berterus terang dengan pasangan dan mendapat sokongan pasangan untuk menjalani pemeriksaan dan bimbingan. Soal ini bukan soal tentang dirinya saja, malahan soal hubungan kelamin dengan pasangan dan perlu dikendalikan bersama pasangan supaya pasangan dapat memahami masalah yang dialami isteri dan dapat bertimbang rasa kepada pasangan.

    Kebanyakan dari masalah ini dapat diatasi wanita itu sendiri setelah dia mengenali anggota sulitnya, tidak menyulitkannya malahan dapat memberi kebahagiaan jika anggota itu dapat digunakan dengan baik.

    Dia perlu tahu yang anggota kelaminnya itu dalam kawalannya dan dia boleh membuka dan menutupnya mengikut keselesaannya. Perkara ini tidak ada kaitan dengan isu moral kerana setelah berkahwin wanita itu perlu melengkapkan diri supaya dapat berdampingan dengan suami dengan baik dan menikmati keseronokan hubungan kelamin yang dianugerah Tuhan kepada mereka berdua.

    Wanita dan Seks: Rahim jatuh jejas hubungan kelamin

    Tidak mampu menahan kencing dan masalah batuk yang dihidapi sejak setahun lalu
    SAYA mempunyai masalah peranakan jatuh (tombong) sejak kelahiran anak sulung secara induce. Begitu juga ketika melahirkan anak kedua. Selepas kelahiran anak sulung, saya batuk selama setahun dan tidak dapat menahan kencing dengan lama.

    Apabila melahirkan anak ketiga melalui pembedahan, dan ditambah lagi kini saya mengalami batuk yang teruk (selalu rasa tekak kering dan tidak lepas batuk) membuatkan air kencing mudah mengalir walaupun ketika duduk atau mencangkung. Sejak kebelakangan ini saya rasa peranakan saya semakin jatuh akibat batuk yang dipaksa ini.

    Apa yang boleh saya lakukan untuk mengatasi masalah ini apatah lagi sekarang vagina terasa pedih dan tidak selesa. Dari segi perubatan, adakah ubat yang sesuai selain melalui pembedahan untuk menegangkannya. Adakah pemakanan jamu boleh membantu?

    ZIELA,
    melalui e-mel

    KEDUDUKAN rahim, corong faraj yang juga termasuk bahagian pembukaan faraj, dalam tampungan otot pelvis yang juga dikenali sebagai otot kemut. Jika keadaan otot itu sihat dan langsing, sudah tentu struktur dalam kawalannya juga akan berada dalam keadaan langsing dan tegap. Perkara yang sebaliknya berlaku apabila otot kemut lemah. Kedudukan rahim jatuh dan juga dinding faraj.

    Jika dinding faraj bahagian atas lemah kedudukan salur kencing dan pundi kencing tergendala dan membuatkan pundi kencing lemah dan otot pembukaan lubang kencing juga lemah. Jika ini berlaku wanita itu akan mengalami masalah kencing tercicir apabila dia terbatuk atau bersin. Jika dinding faraj bahagian belakang lemah wanita itu akan mengalami masalah buang air besar dan akan terasa farajnya tersempal dan hubungan kelamin amat sukar kerana najis dalam usus besar menghalang kemasukan ereksi atau mengganggu perjalanan ereksi.

    Wanita itu hanya dapat melakukan hubungan seksual selepas membuang air besar! Jika keseluruhan dinding faraj lemah, rahim akan terturun setiap kali wanita itu meneran untuk buang air kecil atau buang air besar. Jika perkara ini dibiarkan lama kelamaan penurunan rahim menjadi ketara dan rahim akan terjojol keluar dari faraj! Ini yang digelar ‘tombong’. Perkara ini jarang berlaku. Jika keciciran kencing terus berlaku, keadaan faraj terganggu dan mukosa faraj tertekan.

    Ini akan mengakibatkan kulit mukosa faraj melecit dan kering atau mengelupas. Hubungan seks akan menjadi tidak selesa.

    Mustahak untuk wanita yang mengalami keciciran kencing berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan anggota kelamin. Doktor akan lakukan pemeriksaan untuk mengenal pasti kedudukan anggota sulitnya, sama ada lemah dan melakukan ujian sama ada terdapat keciciran kencing. Jika keseluruhan dinding faraj lemah dan terdapat penurunan rahim, kemungkinan rahim itu terpaksa digantung (dengan menggunakan ‘sling’) supaya kedudukan rahim stabil dan tidak menghempap dinding faraj dan kedudukan salur kencing selesa dan tiada keciciran air kencing. Jangan teragak-agak untuk jumpa doktor secepat mungkin.

    Isteri `tua’ derita suami muda digoda janda

    CERITA fasal kambing tua suka makan pucuk muda minggu lalu memang cukup menarik. Ramai memberikan pandangan malah kata mereka, apa salahnya lelaki tua kahwin wanita muda, itu fenomena biasa dalam kehidupan hari ini. Lelaki biasalah kalau berhajat dia akan melakukan apa sahaja sehingga hasratnya tercapai.

    Terpulang kepada gadis-gadis sahaja sama ada menerima ataupun tidak, bab memfitnah itu perkara kecil malah ada lelaki yang sanggup ugut gadis untuk berkahwin dengannya. Apabila dah kahwin barulah dia takutkan isterinya. Tapi sebenarnya bukan takut cuma tak mahu bertanggungjawab. Inilah yang gadis-gadis mesti faham.

    Bagaimanapun minggu ini kita ikuti kisah seorang isteri yang kecewa dengan sikap suaminya, sudahlah tidak berpelajaran, tidak bekerja ketika ditemui, tetapi setelah `dibersihkan, digilap bercahaya’ dan mempunyai pekerjaan dan gaji juga boleh tahan tingginya, dia pula dianggap sebagai isteri yang tidak tahu diri dah tua, kaki kontrol dan tidak sedar diuntung.

    Kata Zubaidah, ketika berbual di telefon, jiwanya tertekan angkara suaminya yang selalu sangat jatuh cinta, dan dia tidak ada tempat nak mengadu, kalau ikutkan perasaan mahu sahaja dia melarikan diri, tetapi memikirkan nasib anak-anak yang memerlukannya, dia terpaksa memendam perasaan. Tapi tak tahu berapa lama.

    Kerana tidak ada kemudahan Internet, maka saya syorkan beliau menulis sahaja kemudian fakskan kepada penulis, kerana di pejabatnya memang ada kemudahan tersebut, tapi katanya, dia tidak akan puas kalau tak bercerita.

    Setelah membaca surat yang difakskan, penulis hubunginya, dan kami berbual agak lama juga. Dipendekkan cerita, pengalaman pahit yang dilalui oleh Zubaidah memang boleh memakan jiwanya jika dibiarkan lama.

    Katanya, dia pernah terfikir untuk menamatkan hayatnya, tetapi tak jadi kerana ingatkan anak-anak, dia tidak ada tempat nak mengadu, fikirannya berserabut, suami gelarkan dia dah expired, sebagai wanita lemah lembut jiwanya tertekan apabila dikutuk, dipanggil dengan pelbagai gelaran oleh suami terhadapnya.

    “Saya sedar saya jauh lebih tua daripadanya ketika berkahwin dahulu. Saya ibu tunggal, suami saya meninggal dunia kerana penyakit yang dihidapinya, arwah meninggalkan kami berempat beranak, namun hidup saya tidaklah susah sangat, walaupun tidak sesenang ketika arwah masih ada. Setelah sekian lama sendirian saya dilamar.

    “Rosli mendesak hendak kahwin dengan saya. Saya suruh dia fikir 100 kali, namun dia tetap dengan keputusannya. Adik-beradik saya menegah sebab kata mereka, masalah rumah tangga kami tidak nampak sekarang, tetapi akan susahkan saya dalam masa 10 atau 15 tahun akan datang.

    “Ketika itu saya berusia dekat 40 tahun. Sedangkan Rosli baru 25 tahun. Memang kami tak sesuai menjadi pasangan suami isteri macam kakak dengan adik kalau dilihat daripada perbezaan umur kami 15 tahun itu.

    “Tapi wajah dia tidaklah muda sangat disebabkan pengalaman hidupnya yang susah, jadi dia dilihat lebih matang, wajahnya kelihatan dah berbaya kerana susah.

    “Rosli anak dagang dari kampung, sejak kecil dia membantu keluarganya, setelah ibu bapanya bercerai, disebabkan kemiskinan dia terpaksa melakukan pelbagai jenis kerja kampung, tetapi hasilnya memang tak berbaloi langsung.

    “Masih muda belia dia berhijrah ke KL melepaskan dirinya daripada belenggu kemiskinan. Di KL disebabkan tidak ada saudara dan kenalan dia jadi anak jalanan, dia melakukan pelbagai jenis pekerjaan. Tidak ada tempat tinggal yang tetap, di mana ada kerja di situ dia melepaskan lelah dan melelapkan mata.

    “Entah macam mana kami bertemu, dia jadi buruh kasar, kebetulan waktu itu dia bekerja dekat rumah saya. Bermula dengan bertegur sapa akhirnya kami menjadi kawan rapat. Dah rapat dia lahirkan hasratnya untuk berkahwin dengan saya. Bagaimanapun saya tak cepat terima, saya menasihati dan mengingatkan Rosli tentang kedudukan umur kami yang berbeza, dia bujang saya janda, umur yang jauh lebih tua dan ada anak.

    “Tetapi kata Rosli itu semua jangan dijadikan masalah sebab yang penting kami bersedia berumah tangga, dan tahu tanggungjawab masing-masing. Memanglah ketika itu hidup Rosli memang susah, maklumlah kerja sebagai buruh sahaja.

    “Setelah nikah saya cuba mengubah corak hidupnya, saya suruh dia berniaga, tetapi hasilnya tak memuaskan. Saya tak kira habis duit modal pun asalkan dia mahu berusaha untuk membaiki taraf hidupnya. Kerana saya tak mahu dia jadi buruh kasar lagi, kerja teruk sedangkan saya yang ada kelulusan bekerja pejabat. Tentu dia rasa tak selesa.

    “Tak sampai dua tahun berkahwin, Rosli mula buat hal, sambil berniaga dia boleh main-main cinta. Hati saya mula terasa pahitnya. Tetapi saya bersabar, bila saya ingatkan dia tentang janjinya, dia baiklah sekejap, lepas itu sambung balik tabiat buruknya.

    “Dalam pada itu saya carikan dia kerja yang lebih baik selepas berhenti berniaga, kerana saya ada ramai kenalan, pekerjaan yang sesuai tidaklah susah sangat nak cari. Dan Rosli berani mencuba walaupun dia memang tak tahu pada asalnya.

    “Satu tabiat buruknya, dia suka sangat bercinta, pantang nampak gadis yang melayan senyumannya, semuanya dilayan dan mudah jatuh cinta. Setiap kali dia bercinta saya cepat dapat tahu, kerana sifatnya yang cepat lupa dunia. Sepanjang perkahwinan kami hampir 15 tahun saya rasa tidak kurang 12 orang gadis yang dia telah jatuh cinta, itu pun sepanjang yang saya dapat tahu. Tapi rasa-rasanya lebih daripada itu.

    “Setiap kali dia bercinta saya akan nasihatkan dia tentang nasib anak-anak, saya mahu dia jaga anak-anak kalaulah saya mati dulu daripadanya, tetapi dia tak kisah langsung. Kerana sikapnya itulah saya terpaksa serahkan seorang anak saya kepada adik untuk dipelihara, sebab setiap kali saya hamil dia akan bercinta. Dan ketika bercinta, perubahan sikapnya sukar dikawal, saya menghadapi tekanan hidup yang amat sukar.

    “Kami saling berbalah, dia akan menuduh saya kaki kontrol, cemburu buta, suka sekat kebebasan hidupnya, dan faham sajalah apabila bercinta dia jadi lupa diri, lupa dia ada anak isteri, perbelanjaan hidup semakin sempit. Sedangkan saya perlu bayar ansuran rumah dan kereta serta macam-macam lagi.

    “Sebenarnya anak-anak saya terdahulu tak menyusahkannya, mereka bersekolah asrama, masuk IPT, jadi tidak banyak masa mereka di rumah kami. Bila bekerja mereka menyewa rumah sendiri bersama kawan-kawan. Mereka memang tidak menyusahkan saya dan ayah tirinya. Sebaliknya mereka sering membantu saya.

    “Namun perkenalannya dengan wanita yang terakhir sekarang amat menyakitkan hati saya. Mulanya seperti biasa saya tidak menyedari perubahan dirinya. Taktik barunya bersama kawan-kawannya memang menakjubkan. Semua bermula daripada ajakan kawan-kawan untuk ke masjid mendengar majlis ilmu. Saya fikirkan baik, saya biarkan tanpa banyak soal, dia pun tidak mengajak saya ikut sama.

    “Rupa-rupanya dari majlis ilmu ini mereka berpecah dan dia terus bertemu kekasihnya, yang kebetulan seorang peniaga. Saya masih tak sedar, hinggalah saya dapati banyak pakaiannya hilang dari almari dan saya jarang berjumpa pakaiannya lagi.

    “Pakaian yang hilang ini pun saya sedar setelah membaca SMS dalam telefonnya. Mulanya saya dengar panggilan telefon, tapi tak diangkat, lepas itu masuk pula SMS. Alangkah terkejutnya saya bila saya baca terdapat perkataan yang memalukan. Antaranya perkataan `best giler!’ Penghantarnya seorang wanita.

    “Kerana tak puas hati saya tanya Rosli, biasalah mana nak mengaku malah menengking saya kerana membaca SMS dia. Saya hubungi wanita itu esoknya kerana dia masih mencari Rosli, waktu subuh. Apabila saya tanya barulah dia menceritakan dia dah lebih dua bulan kenal Rosli. Malah dia mengaku mengajak Rosli tidur di rumahnya.

    “Lagi saya terkejut. Patutlah Rosli sering balik subuh pukul 4 atau 5 pagi baru sampai rumah, konon ada majlis ilmu di masjid dan di rumah kawan. Rupa-rupanya bermalam di rumah kekasihnya. Tanya punya tanya barulah terbongkar rahsia wanita ini sebaya saya, anak-anaknya semua dah lulus universiti dan dah bekerja, dia tinggal sendirian sambil berniaga untuk memenuhi masa lapang.

    “Dia ibu tunggal dah 15 tahun bercerai, katanya dia kesunyian sebab itu dia melayan suami saya, katanya Rosli yang tergila-gilakan dia, sedangkan yang sebenarnya dia sentiasa mencari Rosli bila tak datang ke rumahnya. Dan dia tergamak memberi kunci rumahnya kepada Rosli untuk tidur dulu sementara menunggu dia balik berniaga.

    “Saya nasihatkan Rosli kalau benar dia nak kahwin, bukanlah dengan wanita sebaya saya, carilah yang lebih muda, jangan nak main-main, berdosa. Saya sedar dah tua, sebab tu dia tak sukakan saya. Tapi janganlah aniaya saya dan anak-anak, bagi kami nafkah secukupnya jangan nak seronok dan senang sendiri. Ingat masa susah dahulu masa tak ada duit siapa yang tolong mengubah kehidupannya seperti yang ada sekarang.

    “Rosli pernah mengaku dia tak sangka dia boleh hidup senang, siapa sangka dulu dia buruh kasar, tempat tinggal pun tak ada tapi sekarang dia ada kerja tetap dengan gaji dekat dua ribu. Tapi dia tak ucapkan terima kasih pada saya pun.

    “Namun saya ingatkan dia supaya ada simpanan, sebab kita bukan kakitangan kerajaan ada pencen, apabila duit KWSP habis nanti apa nak makan, jangan ingat nak senang saja. Macam biasalah apabila dinasihatkan dia lagi melenting.

    “Bagaimanapun bila Rosli tak datang ke rumahnya setiap malam, paginya wanita ini akan menelefon memujuk rayu, konon dia kesunyian. Malah dia merayu saya memahami perasaan dan hatinya yang lama sendirian. Saya suruh dia mengucap. Dia memang tak malu langsung. Bila saya nasihat supaya mencari ilmu buat bekalan mati nanti, katanya saya tak payah nasihatkan dia, yang dia perlukan cuma suami saya.

    “Sejak seminggu dua ni, memang Rosli tidak berkunjung ke rumahnya lagi. Semakin galaklah panggilan telefon diterima memujuk rayu Rosli supaya jangan tinggalkan dia malah dia bersedia memberikan apa sahaja yang Rosli mahu asalkan tidur di rumahnya.

    “Sebagai isteri apa perasaan anda? Inilah yang saya hadapi sejak hampir tiga bulan lalu. Kalau anda di tempat saya apa patut anda lakukan, panggil pegawai pencegah maksiat?” tanya Zubaidah tentang masalahnya bersuami muda.

    Tidak ada siapa pun di dunia ini yang tak ada masalah, semua orang ada masalah tersendiri. Kalau tidak dengan suami, dengan anak-anak, mungkin mentua, gangguan ipar-duai atau jiran namun atasinya dengan baik.

    Sementara itu pada anda yang memberikan pandangan terbaik dalam forum di laman web dcckmona.com, hadiah menarik mungkin menjadi milik anda. Dan terima kasih atas pandangan yang diberikan. – http://www.dcckmona.com

    dcckmonaum@hotmail.com – MAIMUNAH

    Dikirim dalam Uncategorized. 1 Comment »