Nordiana macam artis

KULAI: Biarpun tampil secara terbuka buat pertama kali di hadapan media dan orang ramai, tunang Mawi, Nordiana Mohd Naim, 21, nyata tidak kekok, malah bijak bergaya seperti artis.

Penampilannya bersama juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu menarik perhatian lebih 15,000 peminat yang membanjiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Mawi yang diadakan di Padang Kampung Bahagia, Felda Taib Andak, di sini, semalam.

Ribuan peminat Mawi atau nama penuhnya Asmawi Ani nyata terpikat dengan senyuman manis dan kemesraan Nordiana yang tampil bergaya dengan kebaya hijau pucuk pisang, malah mereka, turut mengambil kesempatan untuk bergambar dan mendapatkan autograf bakal isteri artis kesayangan ramai itu.

Nordiana yang ditemani keluarganya bertandang dari Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi untuk bersama-sama Mawi meraikan peminat yang datang dari seluruh negara pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan di Padang Kampung Bahagia, Felda Taib Andak.

Ketika ditemui, Nordiana berkata, dia gembira dan tetap selesa melayani peminat Mawi yang menyerbunya untuk bermesra, merakamkan kenangan serta tandatangannya.

“Saya gembira walaupun peminat Mawi ramai yang datang berkerumun. Saya sudah menjangkakan keadaan ini dan sudah bersedia dari segi psikologi untuk berdepan dengan peminat Mawi.

“Saya tumpang gembira dan bersyukur dengan sambutan peminat yang datang beramai-ramai ke majlis rumah terbuka Mawi ini,” katanya.

Katanya, walaupun sambutan Aidilfitri tahun ini dan seterusnya agak berbeza buat Mawi kerana dikelilingi dan menjadi tumpuan peminat, dia sudah bersedia menghadapi situasi itu.

“Saya tetap percaya kepada Mawi dan yakin Mawi dapat menempuh gelombang kehidupan sebagai seorang artis dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Mawi berkata, dia tidak menduga dengan kehadiran peminat pada majlis rumah terbukanya yang diluar jangkaan.

“Saya gembira dan rasa bertuah melihat sambutan peminat yang amat menggalakkan. Sambutan di luar jangkaan dan kehadiran peminat untuk sama-sama berkongsi kegembiraan pada Aidilfitri ini amat bererti bagi saya,” katanya.

Ditanya mengenai kehadiran Nordiana buat pertama kali untuk bersama beliau dalam mana-mana majlis, Mawi berkata majlis berkenaan adalah rumah terbuka Aidilfitri dan sesiapa sahaja boleh datang.

“Sebenarnya saya tidak mahu terlalu mendedahkan (kepada umum) tunang saya. Kerjaya saya tidak ada kena mengena dengan dia (Nordiana). Nasihat saya pada Ina (Nordiana) ialah supaya selalu sabar dan tenang. Saya kenal dia, dia kenal saya.

“Saya juga percaya kepada dia. Kami jujur. Saya sudah bersedia dengan gosip. Semua orang bebas beri pendapat dan saya terima dengan tenang. Saya ikhlas. Semua orang tahu saya sudah bertunang. Pada majlis ini tunang saya dan keluarganya juga dijemput datang untuk bersama memeriahkan majlis ini,” katanya.

Mawi berterima kasih kepada peminat yang datang ke majlis rumah terbukanya yang diadakan khas sebagai tanda penghargaan dan mahu berkongsi kegembiraan sempena hari kemenangan pada Syawal ini.

“Majlis ini adalah untuk peminat yang banyak menyokong. Saya gembira melihat kehadiiran mereka ke kampung saya,” katanya.[Metro]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: