Halang tukar jantina — Kerajaan didesak perkenal undang-undang kekang kahwin sejenis

Oleh: SHARIZA ABDULLAH dan UMAVATHI RAMAYAH

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Pelbagai pihak mendesak kerajaan memperkenalkan undang-undang menghalang sebarang pengiktirafan hak individu yang menukar jantina termasuk tidak membenarkan perkahwinan sejenis.

Mereka yang turut diwakili oleh wakil persatuan agama Islam, Hindu, Sikh, Buddha dan Kristian itu menegaskan, kegagalan memperkenalkan undang-undang bagi mengekang budaya songsang itu akan menyebabkan budaya gay dan lesbian yang amat jelas haram di sisi semua agama `membiak’ di negara ini.

Sambil meminta kerajaan bertindak tegas bagi mengatasi gejala yang mula menular di negara ini, mereka sependapat bahawa sistem sosial negara akan tercabar jika perbuatan itu terus dibiarkan dan mendatangkan lebih banyak masalah pada masa akan datang.

Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, golongan yang mengamalkan cara hidup songsang itu akan menjadikan demokrasi atau liberalisasi sebagai `batu loncatan’ untuk menuntut hak-hak mereka.

Oleh itu katanya, kerajaan perlu mengambil pendirian tetap untuk tidak mengiktiraf sebarang tuntutan golongan berkenaan bagi memastikan supaya sistem sosial negara ini yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi tidak tercemar dan diperlekehkan sewenang-wenangnya.

“Walaupun kerajaan pada umumnya tidak mengiktiraf mereka, namun ia perlu diterjemahkan dengan tindakan tegas seperti menyediakan peruntukan undang-undang yang jelas berhubung perkara tersebut.

“Ini bukan soal hak asasi atau amalan demokrasi, tetapi ia melibatkan maruah negara dan agama yang secara jelas telah mengharamkan perbuatan sedemikian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isu mengenai penukaran jantina menjadi panas apabila Jessie Chung yang dilahirkan sebagai seorang lelaki telah menjalani pembedahan menukar jantina dan melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki, Joshua Beh Soo Kiang pada 13 November lepas.

Jessie dan Joshua telah melangsungkan perkahwinan mereka di sebuah hotel terkemuka di Kuching dengan dihadiri oleh kira-kira 800 rakan dan saudara-mara.

Tiga paderi dari Bountiful Harvest, Shepherd’s Centre dan Assembly of Love telah menyempurnakan majlis perkahwinan mereka.

Perkahwinan pasangan Jessie dan Joshua, seorang akauntan dari Ipoh juga dikatakan mendapat restu daripada ibu bapa mereka yang turut menandatangani dokumen perkahwinan.

Presiden Persatuan Kebajikan Sikh Malaysia, Harbans Singh Gill pula berkata, walaupun keadaan persekitaran dan hormon dijadikan alasan untuk individu menukar jantina, namun perkara tersebut tidak boleh dibiarkan kerana ia akan menjadi `barah’ kepada negara.

“Perbuatan seperti ini yang tidak disusuli dengan tindakan tegas oleh kerajaan seakan menampakkan negara memandang mudah masalah ini.

“Mungkin ia merupakan sesuatu perkara lumrah di negara-negara Barat, tetapi perkara itu amat sensitif dan perlu dikupas secara halus di negara ini yang kaya dengan nilai-nilai ketimuran,” katanya.

Sementara itu, Presiden Hindu Sangam Malaysia, Datuk A. Vaithilingam berkata, pihaknya menentang sekeras-kerasnya budaya menukar jantina sehingga membawa kepada perkahwinan sejenis.

“Kerajaan mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan. Oleh itu adalah penting untuk mereka membuat satu penilaian secara menyeluruh mengenai masalah ini demi kepentingan negara,” ujarnya.

Setiausaha Agung Persatuan Gereja Evangelical Malaysia, Reverend Wong Kim Kong juga menegaskan bahawa perkahwinan sejenis adalah bertentangan dengan ajaran Kristian.

Malah menurut beliau, berdasarkan ajaran kitab Injil, Tuhan tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis, kerana setiap sesuatu itu dijadikan berpasang-pasangan.

“Kitab Injil mengajar penganut Kristian bahawa Tuhan menjadikan setiap makhluk itu dalam dua jantina iaitu lelaki dan wanita,” katanya.

Naib Presiden Belia Xien Liang Wilayah Persekutuan, Kelvin Ang Keh Den menegaskan, sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berpegang teguh terhadap agama masing-masing, Malaysia perlu membuktikan ketelusannya `melindungi’ nilai-nilai agama tersebut daripada dicemari oleh golongan berkenaan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad turut berpendapat kerajaan tidak patut bertolak ansur dengan golongan yang mengamalkan perkahwinan sejenis.

Katanya, perkahwinan yang dibuat secara terbuka bukan sahaja tidak diiktiraf, tetapi juga boleh meninggalkan pengaruh buruk kepada pembangunan generasi muda.

“Jika mereka sorok-sorok, kita tiada hak untuk intip, tapi mereka dengan berani melangsungkan perkahwinan secara terang-terangan.

“Jika tiada tentangan atau tindakan tegas diambil bagi menangani isu ini, ia umpama kita merelakan perbuatan yang bukan sahaja salah di sisi agama, malah bertentangan dengan undang-undang negara,” katanya.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Norizan Shariff pula berkata, kerajaan perlu menyatakan secara terbuka bahawa perkahwinan seumpama itu tidak diiktiraf di sisi undang-undang negara.

“Jika perlu, wujudkan satu undang-undang khusus yang membolehkan pasangan turut didakwa bagi mencegah amalan ini daripada berleluasa,” katanya. [UM]

GCISurf – Get Stability, Great Support, Excellent Benefits

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: