Transseksualisme kecelaruan gender

Join us as an upgraded member, surf just 12 sites a day (that’s just 5 minutes), and we’ll transform your thinking.

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

“DIKAULAH yang menjadi sumber kebahagiaanku, kekuatan hidupku.” Begitulah bunyi warkah pendek tetapi penuh romantis yang bertinta darah itu.

Selepas enam kali pinangannya ditolak oleh `gadis’ pujaan hati, Joshua Beh Soo Kiang, jejaka akauntan dari Ipoh, Perak ini tidak tahu bagaimana lagi harus dibuktikan cintanya.

Lalu pada satu malam, di hadapan lebih kurang 100 rakan yang menyertai satu keraian, Joshua telah mengeluarkan sebilah pisau poket, menghiris salah satu jemarinya sebagai dakwat nota cintanya.

“Saya pitam melihat darah dan apabila sedar, saya menyatakan kesudian untuk mengahwininya kerana begitu tersentuh dengan kasih sayang, kesabaran dan sikap tidak putus asanya.

“Saya memang cintakannya. Malah, hati saya sendiri terluka kerana terpaksa menolak lamaran demi lamarannya.

“Namun, atas dasar cinta itulah saya tidak mahu dia melakukan kesilapan dan akhirnya memusnahkan keseluruhan masa depannya bersama saya,” kata Jessie Chung sebagaimana yang pernah diceritakannya kepada Guangming Daily.

Tanggal 13 November lalu, impian Jessie untuk menjadikan lelaki tercinta sebagai suami terlaksana sudah. Jessie kelihatan menyeka air matanya pada hari pasangan itu diraikan sebagai pengantin baru walaupun dari segi undang-undang serta agama, pernikahan mereka yang pertama seumpamanya di negara ini tidak diiktiraf.

Berkahwin sekalipun, kehidupan mereka tidak akan diserikan dengan zuriat kerana usahawan dari Subang yang berusia 30 tahun ini, bukanlah gadis biasa.

Ibunya diberikan ucapan, `Tahniah, anda mendapat seorang bayi lelaki’ sebaik sahaja Jessie aka Jeffry, dilahirkan ke dunia ini. Sejak kecil lagi, Jessie yang digambarkan sebagai seorang yang petah bertutur dan mudah mesra orangnya ini mulai perasan kelainan yang ada dalam dirinya.

Seolah-olah, naluri kewanitaannya terperangkap di dalam tubuh sasa lelakinya. Justeru, sehingga kini, dia telah selesai menjalani tiga kali pembedahan untuk menukar jantinanya.

Semasa mula-mula berkenalan dengan Joshua yang dikatakan mirip aktor popular Hong Kong, Daniel Wu kira-kira lima tahun lalu (sebelum menjalinkan hubungan serius selepas dua tahun), ketika itu, Jessie masih seorang lelaki.

Setahun kemudian, Jessie mengambil keputusan untuk menukar jantinanya. Seperti yang dijangkakan, hubungan mereka pada awalnya mendapat tentangan, baik daripada pihak keluarga mahupun masyarakat.

Ditanya tentang anak-anak memandangkan mana-mana individu yang menjalani pembedahan menukar jantina dari lelaki ke wanita – tidak boleh hamil, pasangan itu masih belum memikirkannya.

“Kami mahu berbulan madu dan enjoy berdua sepuas-puasnya dahulu. Anak-anak… kami akan fikirkan apabila masanya sudah tiba.

“Lagipun, kami sememangnya sering mengunjungi rumah anak-anak yatim dan mereka sudah kami anggap sebagai cahaya mata sendiri,” ujar Jessie lagi.

Seperti Jessie, Dankerina, 30-an, juga sudah menyedari kelainan yang ada di dalam dirinya sejak kecil lagi terutama sekali ketika berada di sekolah rendah.

Tika itu, jiwa keperempuanannya kian terserlah apabila dia curi-curi melawa memakai baju kakak-kakaknya, mengenakan mekap dan kasut bertumit tinggi serta bergaya bagai anak patung Barbie di hadapan cermin.

Malah, semasa arwah ibunya masih ada, dialah yang banyak membantu ibunya yang kepenatan kerana baru pulang dari memotong getah, di dapur. Suasana tambah meriah menjelang Syawal tiba apabila Danker turut sama membuat kuih raya itu dan ini.

Danker kini mengambil terapi penggantian hormon (HRT) bagi mengekalkan kecantikannya seperti seorang wanita. Dia yang sudah 10 tahun menjawat jawatan Pegawai Perhubungan Awam di Sendi Mutiara Network Sdn. Bhd. juga melakukan waxing (membuang bulu roma) tiap tiga bulan sekali.

Walaupun bukan anak bongsu, ahli keluarganya lekat memanggil anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu adik sehingga kini setelah kematian dua adiknya, masing-masing akibat kemalangan jalan raya dan kanser.

Ikuti pengakuan jujur dan berani seorang transseksual yang mendakwa dirinya tiada nafsu ini.

Danker pernah cuba untuk berubah?

Pernah beberapa kali masa berusia 20-an dulu. Danker tinggal bersama kawan-kawan `jantan’ semua, potong rambut pendek habis macam askar, berpakaian lelaki tetapi tak sampai setahun, jiwa Danker memberontak.

Dua tiga tahun lepas tu, tengok orang lain boleh berubah, Danker mencuba lagi dan lagi tetapi tak boleh. Danker juga pernah mendapatkan bantuan ustaz, belajar agama, mengaji dan berdoa sampai keluar air mata tetapi akhirnya balik seperti sekarang. Bukan tidak ada kawan-kawan yang berdoa di depan Kaabah minta berubah tetapi, sama juga.

Danker ada beberapa kawan lelaki yang lembut (tetapi tidak berpakaian seperti perempuan) bercerai-berai hanya selepas dua tiga bulan berkahwin untuk memenuhi desakan ibu bapa.

Bagaimana penerimaan keluarga?

Danker tetap menghormati keluarga dengan tidak terlalu mendedahkan personaliti kewanitaan di kampung. Ibu tahu siapa anaknya. Apabila ada yang tanya bila Danker nak kahwin, ibu kata, Danker hendak jaga keluarga dan tidak fikirkan soal itu semua.

Kakak-kakak dan abang-abang Danker pernah slow talk dengan Danker, “Kalau tiada anak, nanti siapa yang nak jaga Sham apabila tua.” Bab itu akan Danker fikirkan apabila masanya tiba kelak.

Pernah terfikir untuk menjalani pembedahan jantina?

Tidak pernah terfikir langsung. Buat apa menyeksa diri sendiri. Lagipun, banyak lagi benda lain yang boleh digunakan dengan duit pembedahan yang bukan sikit-sikit. Pada Danker, cukuplah cantik setakat ini sahaja tanpa pembedahan.

Bab pemakaian, Danker memang particular. Contohnya, kalau hendak ke pejabat, Danker boleh salin pakaian sampai tiga kali kalau tak puas hati, mengalahkan orang perempuan.

Lebih-lebih lagi, sebagai orang Islam, Danker tetap ingat bahawa akhirnya Danker akan mati dan menghadap Tuhan sebagai seorang lelaki seperti Danker dilahirkan ke dunia ini. Apabila ke masjid, Danker pakai baju Melayu sampaikan kawan-kawan tegur, “Betul ke engkau ni Danker?”

Hendak seribu daya Danker, tak hendak seribu dalih.

Sesetengah orang tak faham. Orang lain boleh kata apa sahaja tetapi mereka tidak berada di tempat orang macam Danker. Kadangkala Danker menangis dan tertanya sendiri, kenapa Tuhan jadikan Danker begini? Kenapa Danker? Kenapa bukan orang lain?

Kalau hendak ikutkan, lelaki-lelaki yang nampak macho habis dari segi luarannya, berjanggut bermisai dan tidak berpakaian seperti perempuan itu belum tentu. Di ranjang, dia lebih hebat daripada perempuan tulen.

Danker tidak takut (hukum mengubah penampilan menyerupai wanita)?

Yang penting, Danker diterima oleh kaum keluarga dan tak kacau orang lain. Danker bersyukur dan anggap ia satu berkat kerana tidak pernah lupa dan menyakiti hati keluarga terutamanya ibu. Semasa ibu masih ada misalnya, Danker layan arwah dengan baik. Tanya ibu nak makan apa, Danker masakkan dan sempat bawa ibu jalan-jalan di Kuala Lumpur.

Setiap bulan Danker menghantar duit kepada kakak di kampung buat perbelanjaan sekolah anak-anak saudara. Kalau tiada kakak, susah juga Danker kerana dialah yang menjaga ayah yang uzur di kampung.

Bukan hendak tunjuk baik tetapi, Danker juga tidak pernah menyusahkan orang lain. Danker ada rumah dan pengangkutan sendiri. Walaupun Danker macam ni, tetapi Danker tidak buat perkara tidak senonoh, tiada kehidupan malam, tidak merokok jauh sekali mabuk-mabuk. Danker berkawan dengan orang surau di kawasan perumahan. Kami saling mengenali dan bertegur sapa. Mereka tiada masalah dengan Danker.

Ketika diajukan persoalan mengenai pembedahan jantina atau lebih popular sebagai SRS (Sex Reassignment Surgery) ini kepada Pakar Bedah Am Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Dr. Zain Al-Rasyid Mohd. Nor, beliau berkata:

“Pembedahan menukar jantina yang melibatkan pembuangan dan pembinaan semula organ-organ genitalia luar merupakan satu pembedahan yang rumit.

“Terutamanya untuk mengubah jantina daripada wanita ke lelaki yang kurang berjaya disebabkan oleh kesukaran untuk membina zakar yang boleh berfungsi dengan baik dari tisu-tisu clitoris (kelentit),” ujarnya.

Sebab itulah, katanya, kebanyakan pembedahan seumpamanya yang dijalankan adalah untuk menukar jantina lelaki ke perempuan.

Sebelum mengulas lanjut, Dr. Zain Al-Rasyid menjelaskan, ini tidak bermakna beliau mengesyorkan pembedahan jantina tetapi sekadar untuk pengetahuan umum akan kesan sampingan dan komplikasinya. Pembedahan jantina tidak dilakukan di negara ini tetapi popular di Thailand dan Singapura.

Sebelum itu, beliau ada menerangkan secara ringkas mengenai transseksualisme di mana seseorang individu itu mempercayai bahawa dia tergolong di dalam jantina bertentangan dengan jantina biologikalnya.

“Gangguan identiti gender ini bermakna ada konflik di antara jantina fizikal dengan identifikasi diri seseorang itu.

“Misalnya, seseorang yang dikenal pasti sebagai lelaki tetapi berperasaan dan berperangai seperti jantina lawannya, perempuan.”

Dr. Zain Al-Rasyid menjelaskan, bagi kelahiran khunsa yang mempunyai kedua-dua organ seks lelaki dan perempuan (atau organ-organ seks yang mengandungi kedua-dua sel ovari dan testis), ibu bapa akan diminta memilih jantina dan pembedahan akan dilakukan semasa bayi lagi.

Berdasarkan beberapa kajian, individu transseksual kebanyakannya mula mengalami perasaan dipunyai oleh jantina berlawanan seawal usia dua hingga tiga tahun lagi.

Memandangkan pembedahan menukar jantina bukanlah sesuatu yang tidak boleh diubah semula, seseorang individu itu akan diberikan kaunseling terlebih dahulu sebelum pembedahan.

Individu berkenaan akan diberikan HRT beberapa bulan sebelum pembedahan dijalankan. Pakar yang terlibat adalah pakar pembedahan plastik dan pakar urologi.

“Untuk menukar anatomi lelaki kepada perempuan memerlukan pemotongan zakar dan buah zakar, pembentukan semula tisu-tisu alat kelamin untuk menjadi lebih mirip kepada perempuan serta membina faraj.

“Faraj dibentuk daripada graf-graf kulit atau usus. Pembedahan halkum biasanya tidak dilakukan kerana boleh mengganggu suara,” katanya.

Pembedahan memakan masa yang lama antara enam hingga ke lapan jam dan perlu dilakukan dua hingga tiga kali. Selesai pembedahan, pesakit perlu terus mengambil HRT untuk membesarkan payu dara dan mengurangkan bulu roma. Dosnya akan semakin dikurangkan bersama masa.

Seperti pembedahan lain, menukar jantina juga mempunyai risiko serta komplikasi seperti pendarahan dan jangkitan minor dan bukan sistemik atau pulmonari.

“Pesakit juga mungkin mengalami kesukaran untuk membuang air kecil dan besar, dan perlu menggunakan katerer urin buat beberapa ketika sebelum boleh berfungsi secara normal,” katanya.

Kependekan faraj menjadi sebahagian masalah di mana kedalaman lazimnya mencapai enam inci dan akan terus bertambah selepas enam hingga 12 bulan, yang dibantu oleh kematangan tisu-tisu berparut.

Hubungan kelamin boleh dilakukan selepas enam minggu.

“Mereka tidak boleh hamil dan melahirkan kerana kekurangan kelenjar-kelenjar seks sebenar (testis dan ovari),” katanya.

Kecuali, sperma dikeluarkan dan disimpan terlebih dahulu sebelum menjalani prosedur pembedahan atau melakukan pembekuan embrio – yang masih memerlukan seorang wanita sebagai ibu tumpang.

Apa yang boleh dan tidak boleh?

* Ereksi yang memuaskan; kecuali dibantu oleh prostesis yang boleh dikembungkan

* Tiada ejakulasi kerana tiada cecair sperma disebabkan oleh ketiadaan testis, vesikel seminal dan kelenjar prostat

* Persenyawaan/kehamilan tidak akan berlaku kerana tiada pengeluaran sperma

* Tiada kitaran haid kerana tiada rahim dan ovari

* Orgasme – mungkin berlaku, kerana adanya sensasi mudah terangsang dan komponen mental

* Menyusukan bayi tidak mungkin. [UM]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: