“Kenapa Danial buat begini?”

Stormpay: Clicks for $$$US

GADIS manis ini terus mencari cintanya. Selepas memilih satu antara 10 jejaka yang datang, sampai ke hari ini dia tidak pasti adakah pencariannya sudah berakhir?

Jejaka yang dipilih Elly, Danial bagai menyepi diri. Tidak memberi sebarang jawapan sama ada ‘ya’ ataupun ‘tidak’ kepadanya selepas rancangan itu berakhir.

Jika selama ini Elly berusaha menyembunyikan apa yang sebenarnya berlaku, kali ini dia memilih untuk berterus terang kepada saya.

“Sampai sekarang saya tidak tahu di mana hati Danial sebenarnya?” kata Elly kepada saya dalam pertemuan kami di Hotel Crown Princess, Kuala Lumpur Isnin lalu. Kakak Elly, Ann Zakaria juga bersama.

Kata Ann, keluarga mereka sendiri masih tertanya-tanya apa status perhubungan pasangan ini.

Kemusykilan bertambah kerana jejaka itu pernah menghantar tanda merisik Elly bersama keluarganya dan episod merisik ini ditonton oleh jutaan penonton.

Elly, gadis metropolitan yang pada saya sangat jujur dan tidak pernah peduli apa orang kata kepadanya. Banyak gosip buruk tentang dirinya dijaja di Internet, tetapi dia tahu apa yang dia buat. Elly juga tidak pernah menyesal dengan keputusannya masuk Mencari Cinta dan memilih Danial.

“Niat saya memang untuk mencari lelaki yang boleh saya jadikan suami. Saya ikhlas dan jujur masuk rancangan itu, tetapi saya tak tahulah kejujuran pihak lain,” katanya.

Tetapi akhirnya dia dikecewakan. Dan dengan nada yang serius Elly katakan kepada saya: “Saya sudah tutup buku lama, buka buku baru. Saya tidak mengharap lagi kepadanya.”

Sejujurnya, macam mana hubungan Elly dengan Danial sekarang?

Kawan biasa kut. Kami masih berhubungan sesekali, tidak bergaduh. Tak ada dendam. Cuma yang saya tak faham ialah Danial.

Kenapa dengan Danial?

Saya tak tahu sama ada dia ‘ya’ atau ‘tidak’ dengan perhubungan ini. Untuk pengetahuan awak, semenjak habis rancangan sampai sekarang saya tak pernah jumpa dia. Tak pernah! Hari terakhir ialah sehari sebelum bulan Ramadan yang lalu.

Dalam episod akhir Mencari Cinta, ada dipertontonkan Danial dan keluarga meminang Elly, jadi sekarang macam mana?

Itulah yang saya tak faham. Sebab itu saya kata saya tak faham dengan keputusan dia. Saya cuba aturkan pertemuan semalam sebelum jumpa awak. Biar dapat gambaran betul-betul apa yang berlaku kepada kita orang supaya media tidak tertanya-tanya. Tetapi dia bagi alasan, tak dapat jumpa. Jadi sekarang saya kena cakap saja apa yang saya hendak cakap. Saya sudah bosan, saya tak hendak sembunyi apa-apa lagi. Saya tak mahu sembunyikan apa-apa daripada umum. Sekarang biar saya ceritakan yang betul tak mahu sembunyikan apa-apa. Biar orang buat andaian sendiri melalui sumber yang betul. Tapi saya tak hendak burukkan sesiapa, semuanya sudah berlaku dan saya terima.

Apakah adegan meminang itu semua hanya lakonan?

Bukan meminang. Kalau orang Melayu kata macam merisiklah. Dia beri gelang. Bukan penerbit yang suruh, tapi dia sendiri. Sebelum shooting dia datang cakap dengan abang ipar saya, boleh tak bagi gelang itu? Kalau tak mahu terima, cakap sajalah. Saya takkan paksa, ‘awak kena pilih saya juga sebab saya sudah pilih awak’. Saya bukan macam itu. Dalam perkahwinan pun saya hendak cari lelaki yang boleh menerima saya.

Masa memilih Danial bagaimana harapan Elly kepadanya?

Impian saya benda ini berakhir dengan satu perhubungan yang serius. Saya faham tiga bulan masa tak cukup untuk kami saling kenal hati budi. Jadi saya harapkan masa rancangan itu saya pilih seseorang yang juga jujur untuk mencari cinta. Lepas rancangan itu berakhir kita boleh teruskan membina hubungan. Sampai kepada satu tahap kalau ada perkahwinan, ada jodohlah tu. Masa itu saya mengharap kepada dia. Tetapi selepas masuk tahun 2006, tidak lagi.

Kenapa?

Tak ada keputusan, tak ada sebarang tindakan daripada dia. Dan dia cakap dengan saya kalau dia hendak tamatkan zaman bujang, dia perlukan masa lagi lima tahun. Jadi, kenapa saya perlu menanti sebegitu lama untuk dia? Masa itu saya diam lagi. Pada saya kalau masa tu dia cakap lepas rancangan itu dia tak akan bersama dengan saya, saya boleh terima. Tapi dia tak cakap pun dia tak mahu.

Mungkin masa itu Danial bimbang hati Elly terluka?

Saya tak kisah kalau awal-awal dia cakap. Terluka tu mungkin ada sikit-sikit. Tapi luka akan sembuh. Hidup kena teruskan. Tetapi sampai hari ini saya terus menanti dan lepas habis rancangan dia hanya cakap, “Tak apa kita kawan dulu.”

Mungkin pada Danial hubungan ini perlu bermula sebagai kawan?

Pada saya tak kisah kalau hendak berkawan dulu. Saya akan terima. Tetapi dia macam tak ada inisiatif. Dulu masa rancangan itu hari-hari telefon saya. Tetapi lepas habis, tiba-tiba lain. Saya tak tahu apa silap saya tiba-tiba dia berubah. Saya masih menunggu, tak mahu mendesak dia. Saya memang hendak kahwin umur sebelum 30. Tapi selepas ia berlalu, saya dah tak kisah. Tak mahu fikir lagi. Serah saja pada qadak dan qadar. Lepas 20 November saya tunggu keputusan dia. Sampai 2006 saya kata ia sudah berakhir. Sampai bila saya hendak kena tunggu? Jadi 2006, saya buka buku baru, tutup buku lama.

Apakah maknanya Elly tidak lagi mengharap pada Danial?

(Menganggukkan kepala).

Adakah memilih Danial satu kesilapan?

(Ketawa). Tidak! Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang saya buat. Walaupun tahu pilihan saya tak sama dengan pilihan keluarga saya. Danial baik, sopan santun, hormat orang tua. Tapi kita tak tahu kalau-kalau ada desakan lain yang membuatkan dia tak boleh buat keputusan. Pada saya dia patutnya kena beritahu saya. Tetapi sekejap ‘ya’ sekejap ’tidak’. Bila wartawan tanya dia tak cerita hal yang sebenarnya. Dia cakap kami masih rapat, hakikatnya tak macam itu. Jadi, saya sendiri keliru.

Masa rancangan itu berjalan layanan dia terhadap Elly macam mana?

Hebat! Biasalah bukan dia seorang. Saya tak kata dalam rancangan itu dia berlakon. Mungkin ada desakan lain, saya faham. Tetapi tolonglah jangan buat macam ini. Cakap terus terang. Kalau dia bukan lelaki yang sesuai untuk saya, saya belajarlah daripada pengalaman ini. Lain kali kena kenal betul-betul sebelum menilai orang.

Pernah bincang dengan Danial akan masalah ini?

Ada, dah cakap dengan dia. Sebelum orang tahu saya pilih Danial, saya sudah tanya dia. “Adakah awak serius?” Dia kata kalau ada bantahan daripada sesiapa pun dia akan meneruskan juga perhubungan kita orang. Kalau dia tak serius, saya boleh bincang dengan penerbit hendak buat apa. Saya rasa kalau dia betul-betul sukakan seseorang, sibuk mana sekalipun kita akan hubungi orang itu. Kalau hendak kata masa sebagai halangan, tak mungkin sampai macam ini.

Apakah Danial tak sukakan Elly sebenarnya?

Saya tak tahu, dia tak pernah cakap benda tu. Sebelum ini ada tanya, dia kata yes suka. Saya pun dah tak tahu macam mana status kami sebab dalam akhbar dia kata kami masih akrab, sedangkan macam ini sebenarnya. Takkan saya hendak ikut cakap dia sampai lima tahun menunggu? Tak sanggup.

Kenapa Elly tidak beralih arah, mencari lelaki lain yang lebih sesuai dan lebih serius dengan Elly?

Saya perempuan, umur makin meningkat. Saya tak akan jadikan benda ini sebagai noktah untuk memulakan satu hubungan baru. Hubungan saya dengan Danial mungkin tidak menjadi, saya cubalah dengan lelaki lain. Tetapi tak adalah habis rancangan saya terus jumpa dengan Abang Long ke, Zul ke (kedua-duanya juga peserta Mencari Cinta). Tak ada sampai macam tu.

Gosip-gosip kata Elly kini keluar dengan jejaka Mencari Cinta lain, sejauh mana kebenarannya?

Oh tidak, tidak, tidak. Kalau keluar pun tak pernah berdua, mesti dalam kumpulan atau keluarga. Keluarga pun cakap kalau tak jadi dengan Danial, dengan yang lain pun okey. Tetapi hendak buat macam mana, hati saya tak ada. Saya tak akan paksa, nanti saya mainkan perasaan mereka pula. Tetapi mereka okey, walaupun saya pernah tolak mereka sebelum ini. Dan kalau Danial bagi tahu awal-awal dia tak suka saya, mungkin di hujung rancangan itu saya akan cakap dengan orang yang kami tak dapat teruskan hubungan, jadi kawan biasa saja. Tetapi dia bagi harapan.

Penyertaan Elly dalam Mencari Cinta, ada pro dan kontra. Dengan masalah yang berlaku berbaloikah pengorbanan Elly untuk rancangan berkenaan?

Berbaloi atau tak, saya tak pernah rasa rancangan ini memusnahkan harapan atau keadaan hidup saya. Saya pandang dari sudut positif. Banyak lagi benda lain yang saya dapat, pengalaman, kawan-kawan. Ada kebaikannya juga. Di samping itu saya belajar mengenai perhubungan juga. Bila hendak nilai seseorang biar jangan tergesa-gesa. Jangan main sambar saja. Apa yang keluarga cakap ada kebenarannya. Saya gembira sebab melalui rancangan ini hubungan saya dengan keluarga makin rapat, dapat satukan keluarga untuk mencari jodoh saya walaupun awalnya masa hendak masuk rancangan itu emak saya tak suka. Yang buruknya saya terus kena kutuklah. Saya menangis bila timbul gosip tak betul. Orang yang tak kenal saya menceritakan diri saya lebih daripada keluarga saya kenal saya.

Apa yang Elly hendak katakan kepada Danial?

Saya hendak dia ingatkan balik apa yang sudah berlaku masa rancangan itu antara saya dan dia. Kalau dia rasa betul-betul jujur, cuba buat keputusan yang tidak akan menyusahkan mana-mana pihak. Buat keputusan, jangan buat benda ini bergantung. Pada saya kejujuran penting dalam sesuatu perhubungan. Berlaku jujur, itu saja yang saya mahu. [MM]

Baca juga: `Tiada cinta antara kami’

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: