Siti Nordiana berdebar menanti April

Siti NordianaOleh Jamliah Abdullah

APRIL nanti tidak akan dilupakan Siti Nordiana Alias yang bergelar Nana. Satu momen yang paling indah dalam hidup setiap gadis akan muncul dalam hidup artis berusia 22 tahun itu.

April akan jadi saksi buat Nana dan tunangannya kini iaitu pelakon Faizal Yusup saat lafaz nikah itu terucap. Indah bukan? Mendengarkan khabar tentang sebuah lagi “masjid’’ bakal terbina. Barangkali benar kata-kata Kahlil Gibran, “Ketika kamu menyanyikan keindahan walaupun di tengah gurun pasti akan ada yang mendengarkan.”

Dalam sesi fotografi terbaru, Nana yang hadir bertemankan Faizal sekali lagi mengkhabarkan berita indah. Mengenangkan tempoh yang cuma tinggal beberapa bulan saja lagi dan pelbagai persiapan yang harus dilakukan bukan sesuatu yang menghairankan jika hidup Nana kini agak kekalutan.

Apatah lagi dengan pelbagai rangka promosi untuk album duet terbarunya dengan rakan seperjuangan Achik iaitu Benang Emas yang kini sudah berada di pasaran. Letih dan stres sedikit akui Nana, namun artis itu berusaha memberikan komitmen yang terbaik.

– Debar menanti April

Nana mahupun Faizal yang sudah memanggilnya ‘sayang’ banyak berselindung tentang majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan mereka. Tidak selesa, kata Nana, berbicara tentang hal tersebut selain daripada kerjaya nyanyian terutama album terbarunya.

Namun siapa sebenarnya yang dapat menyembunyikan berita sebahagia itu. Akhirnya terpacul juga rencana sebenarnya daripada bibir mereka.

Jika tidak ada aral melintang, majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan sebelah pengantin perempuan akan berlangsung pada 29 April di Felda Sendayan, Negeri Sembilan. Sementara resepsi perkahwinan untuk pihak lelaki pula pada 1 Mei di Sentul, Kuala Lumpur.

Bercerita tentang persediaan kata Nana, semuanya dengan teliti daripada pakaian pengantin sehingga kenduri kahwin.

“Kini dalam proses mencari dan memilih. Baju apa, siapa jurusolek dan hantaran apa?” beritahu Nana. Semua urusan berkaitan dirancang bersama Faizal dan ia lebih meringankan bahunya.

Memberitahu tentang perkahwinan itu lagi, kata Nana, dia dan Faizal hanya mengimpikan sebuah majlis yang sederhana.

“Resepsi Nana akan berlangsung di dewan di Felda Sendayan, Nana rancang buat sederhana saja cara kampung,” kata Nana yang menerima hantaran sebanyak RM17,000 daripada pengantin lelaki. Sementara Faizal pula menyerah semua perancangan majlis perkahwinan kepada ahli keluarganya.

“Majlis perkahwinan kami di sini akan berlangsung serentak dengan majlis abang saya. Jadi setiap persiapan harus mengambil kira mereka juga,” kata pelakon berwajah manis itu.

– Kasih kini sering diuji

Pada usia muda, Nana yang baru menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-21 pada November 2005 seakan-akan sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri. Terlebih dahulu Nana maklum tentang dugaan dan rintangan dalam alam perkahwinan.

Dia mengakui pelbagai berita tentang kerapuhan rumah tangga pasangan artis kebelakangan ini sedikit sebanyak membawa trauma dalam jiwanya.

“Memang takut dan berdebar. Tetapi Nana berharap semuanya berjalan lancar, minta simpang semua perkara yang tidak baik,” tambah Nana.

Nana mengakui bukan mudah hidup berpasangan kerana dia kini harus belajar bertimbang rasa dan bertolak ansur antara satu sama lain. Alam pertunangan yang baru berusia hampir dua bulan itu pun, kata Nana, sering teruji.

“Memang benar kata orang, alam pertunangan banyak cabarannya. Senang saja untuk berselisih faham. Jadi harus banyak bersabar dan selalunya Nana yang banyak bersabar,” katanya.

Terus terang Nana mengakui bahawa dia dan Faizal mempunyai banyak perbezaan termasuk kegemaran masing-masing.

“Ada kalanya susah untuk mencari apa perkara yang kami sama-sama suka. Tetapi mungkin juga itu sebenarnya yang menyatukan kami.

“Tidak menarik kalau mempunyai persamaan yang banyak,” kata anak bongsu daripada dua adik-beradik ini.

Begitu juga, bagaikan rambut tersimpul mati, Nana mengharapkan jodoh itu kekal sehingga ke hujung nyawa. Bukan itu saja kata Nana, sebagai persediaan sebagai isteri yang ingin senantiasa disayangi suami, dia turut mendekati bakal mentua.

“Selepas bertunang memang selalu Nana berkunjung ke rumah keluarga Faizal. Haruslah berbuat demikian untuk membiasakan diri Nana nanti,” katanya. Dengan cara itu juga kata Nana, dia berusaha mengenali fiil dan tabiat bakal suaminya itu.

Kata Nana, dia bahagia kerana hubungannya dan bakal mentuanya itu juga cukup baik.

– Faizal sporting

Hidup suami isteri seperti yang menjadi idaman Nana? Kata Nana, dia cuma mengharapkan hidup yang sederhana tetapi penuh harmoni.

Jangan terkejut, kata Nana, pada usia semuda itu dia juga sudah sedia bergelar ibu.

“Semuanya terserah kepada rezeki Tuhan akan berikan. Nana memang sukakan kanak-kanak,” kata Nana. Sambil melewati hari bahagia itu, Nana juga merancang untuk memulakan perniagaannya sendiri kelak.

“Perniagaan apa? Belum tentu lagi. Tengoklah macam mana tetapi Nana memang bercita-cita untuk berniaga,” katanya.

Bagaimana pula dengan bidang nyanyiannya? Kata Nana, kedua-duanya sudah sepakat untuk berterusan bergelar artis dan memberi restu antara satu sama lain untuk memperkemaskan kedudukan mereka.

“Kami mencari rezeki dengan cara ini jadi biar teruskan. Lagipun masih banyak lagi yang ingin Nana kecapi dalam bidang nyanyian.

“Antaranya keinginan Nana untuk menjadi komposer Nana harap tercapai juga nanti,” kata Nana yang bernaung di bawah syarikat FMC Music. Lagipun kontraknya dengan syarikat tersebut masih ada tiga tahun.

Apa pun Nana menyedari bahawa corak pembawaannya sebagai artis akan berubah tatkala dia sudah bergelar isteri kelak.

“Faizal memang sporting dan dia tidak pula memberikan apa-apa syarat untuk Nana tetapi Nana haruslah menjaga hatinya kini,” kata Nana yang sudah bergelar artis sejak 1999.

Mencitakan kehidupan yang harmoni, Nana mengharapkan semua gosip negatif yang sering mendatangi dunianya sebagai artis sebelum ini akan terus berlalu.

“Begitu pun itu bukan bererti Nana tidak bersedia menghadapi apa yang berlaku. Nana tahu Nana harus banyak bersabar nanti,” katanya.

– Benang Emas hanya lagu

Dalam kesibukan membuat perancangan untuk hari bersejarahnya kelak, hati Nana tetap komited untuk menjayakan album terbarunya iaitu Benang Emas. Benang Emas adalah album duet Nana dengan Achik daripada kumpulan Spin.

Nana dan Achik pernah digosipkan bercinta tetapi dengan status kedua-duanya yang sudah jelas termasuk Achik yang sudah bergelar suami, hanya lagu yang menyatukan mereka.

Benang Emas memuatkan lima buah lagu baru dan lima lagu lama yang dinyanyikan semula. Tiga buah lagu terbaru mereka iaitu Mungkinkah Terjadi, Benang Emas dan Tatasuria kini sudah berkumandang di radio.

Album tersebut turut memuatkan lagu Imbasan Kenangan, Saat Hilangnya Kasih, Cinta Sebenar Cinta, Mari Bermain Tali dan Aci Aci Buka Pintu.

Mendengarkan lirik Benang Emas, ramai yang menjangkakan ia adalah lagu perpisahan Nana dan Achik.

“Benang Emas hanya lagu. Secara kebetulan saja lagu tersebut muncul tepat ketika kami mempunyai pasangan masing-masing. Dulu pun kami sebenarnya tidak mempunyai apa-apa hubungan,” kata Nana.

Memberi komen tentang Achik, hubungan mereka masih kekal pada batas rakan seperjuangan dan akan terus bekerjasama dengan baik.

“Selepas ini kami berdua akan sering bertemu untuk mempromosikan album tersebut di seluruh Malaysia,” katanya.

Menurut Nana album tersebut digarap lewat kejayaan album duet pertama mereka iaitu Istimewa Untukmu pada 2003. Album tersebut terjual lebih 100,000 unit untuk kaset, cakera padat dan video cakera padat.

Benang Emas khabarnya mencatat jualan yang menggalakkan sejak berada di pasaran pada akhir tahun lepas. Tentang perbezaan kedua-dua album tersebut kata Nana, album Benang Emas lebih memaparkan kematangan mereka berdua.

– Bakal anak jutawan

Dalam sibuk bercerita tentang berita album dan perancangan perkahwinan, Nana sempat memberi komen tentang statusnya yang bakal bergelar anak jutawan nanti.

“Bukan saya yang jutawan, ayah saya. Itu wang ayah. Saya tumpang nama saja,” katanya sambil ketawa manja.

Keluarga Nana yang berasal dari Felda Sendayan adalah antara 513 peneroka yang bakal menerima durian runtuh dalam bentuk pampasan berjumlah RM250 juta pada bulan depan.

Setiap keluarga dijangkakan menerima habuan kira-kira RM500,000 seorang yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Lucu cerita Nana sejak kebelakangan ini apabila dia pulang ke rumah di Felda tersebut.

“Meriah macam pesta. Banyak khemah menjual kereta termasuk kereta mewah,” ceritanya.

Kata Nana, walaupun sudah lama tinggal di Kuala Lumpur bersama keluarga untuk mencari rezeki namun rumah pusaka di Felda tersebut tetapi dijaga rapi.

Apatah lagi di situ tempat dia membesar. Jadi bukan sesuatu yang menghairankan jika Nana mengambil keputusan untuk melangsungkan hari bersejarahnya di kampung itu. [MM]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: