Ezuanmi tekad jauhi dadah

MOHD. EZUANMI AZMI

KANGAR 20 Mei – “Atas nama isteri yang sanggup berkorban mengahwini saya, saya berjanji tidak akan mengambil lagi ganja, syabu dan ekstasi,” kata Mohd. Ezuanmi Azmi, 23, yang diijab kabul dengan Najaa Farhana Roslan, 20, Khamis lalu, walaupun masih ditahan untuk selama dua tahun lagi.

Janji itu diucapkan di hadapan Najaa Farhana disaksikan wartawan Mingguan Malaysia, Muhd. Nizam Abd. Hamid di sini hari ini.

Ezuanmi berkata, dia tidak akan melupakan pengorbanan isteri dan keluarga mertuanya yang bersedia untuk menerimanya sebagai ahli keluarga mereka walaupun selepas dia ditahan di pusat serenti itu pada Februari lalu kerana menagih ganja.

“Saya begitu terharu dengan kesediaan Najaa yang masih sudi menerima saya dan berjanji tidak akan mengulangi tabiat mengambil dadah. Saya mahu berubah dan membina kehidupan baru,” katanya ketika ditemui di rumah datuknya di Kampung Paya dekat sini hari ini.

Hari ini merupakan hari terakhir dia diberi `cuti berkahwin’ oleh pihak Pusat Serenti Bukit Chabang, Padang Besar – sebelum menyambung semula hukuman untuk dua tahun lagi.

Khamis lalu, pusat serenti itu meraikan pasangan mempelai itu dalam satu majlis di situ.

Menurut Ezuanmi, perkahwinan itu bermakna dia bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan serentak itu juga dia perlu meninggalkan tabiat mengambil dadah.

Katanya, dia begitu menyesal dengan perbuatannya selama ini yang mengambil dadah jenis ganja, syabu dan juga pil ekstasi gara-gara mahu menghilangkan tekanan perasaan di tempat kerja dan juga kerana mahu bersuka-suka dengan rakan.

“Kadang-kadang apabila menghadapi tekanan dan sukar untuk tidur malam, saya akan mengambil ganja dan hilang sekejap masalah itu tetapi keesokan harinya masih lagi menghadapi tekanan,” ujarnya yang pernah berazam untuk berhenti mengambil dadah tetapi tidak mampu menolak apabila ada rakan-rakan yang datang menawarkan dadah kepadanya.

Ezuanmi yang ditahan di pusat serenti itu selepas ujian air kencingnya positif berkata, dia bernasib baik kerana ditahan di situ yang memberinya peluang untuk memperbaiki diri dan menghentikan tabiat mengambil dadah.

Kalau dulu katanya, dia tidak begitu kisah tentang pengambilan dadah kerana hidup seorang diri tetapi kini dia sedar tentang tanggungjawabnya terhadap seorang wanita yang amat dicintainya.

Selepas diberikan pelepasan untuk bersama dengan isterinya, Ezuanmi berkata, dia akan memasuki semula pusat itu esok bagi menjalani rawatan pemulihan bagi tempoh dua tahun dan berharap dapat dibebaskan lebih awal. [UM]

Tinggalkan komen