Datuk K, Tengku Zawiyah bincang selesai di luar mahkamah

KUALA LUMPUR 24 Mei – Ahli perniagaan, Datuk Khalid Muhamad Jiwa atau dikenali sebagai Datuk K dan Tengku Zawiyah Tengku Izham akan mengadakan perbincangan sulh dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan penyelesaian bagi sebarang tuntutan di luar mahkamah.

Hakim Syarie, Muhamad Fauzi Ismail memberi pasangan itu tempoh sehingga 14 Jun depan bagi mendapat penyelesaian tersebut.

Muhamad Fauzi memutuskan demikian selepas dimaklumkan oleh peguam syarie Zulkifli Che Yong yang mewakili Tengku Zawiyah selaku plaintif dan perkara itu dipersetujui oleh peguam Muhamad Burok yang mewakili Khalid di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini.

Tambah Zulkifli, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti kes itu memandangkan beliau baru dilantik untuk mengambil alih daripada peguam syarie yang terdahulu, Mohd. Fuad Jaapar.

Pada prosiding hari ini, Zulkifli juga membuat pindaan secara lisan dalam perenggan terakhir pernyataan tuntutan Tengku Zawiyah mengenai status sama ada beliau dan Khalid masih suami isteri atau sebaliknya.

Zulkifli menjelaskan permohonan itu dibuat ekoran dakwaan bahawa Tengku Zawiyah dan Khalid masih tinggal bersama sebagai suami isteri dalam tempoh edah walhal masa itu kedua-dua pihak tidak menyedari telah berlaku perlanggaran taklik.

Permohonan tersebut difailkan oleh Tengku Zawiyah pada 12 April lalu selepas dinasihatkan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor, Alwi Parman.

Tengku Zawiyah bertemu dengan Alwi sekitar Februari 2006 bagi membincangkan perihal hak dan tuntutan selepas perceraian dan dalam perbincangan tersebut timbul isu rujuk.

Pada 12 Februari 2005, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memutuskan bahawa berlakunya pelanggaran taklik pada Februari 2004 dan mengesahkan pasangan tersebut telah bercerai secara taklik.

Tengku Zawiyah turut diwakili oleh peguam syarie Azmi Mohd. Rais dan dibantu oleh Normawaddah Ramli.

Pihak responden turut diwakili peguam syarie Mohd. Nasir Abdul Majid dan dibantu oleh Hamirah Ab. Hamid.

Berhubung isu bantahan awal yang difailkan oleh Khalid sebelum ini, Muhamad Burok bersetuju untuk menangguhkan perkara itu sehingga mahkamah menetapkan perbicaraan sekiranya tidak mencapai persetujuan dalam perbincangan sulh.

Namun begitu, menurut Muhammad Burok pihaknya tetap akan menyerahkan satu salinan bantahan awal kepada pihak plaintif. [UM]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: