Persandingan Siti seindah fantasi


SEMOGA DIBERKATI: Siti Nurhaliza dan Khalid mengaminkan
doa yang dibaca oleh Asri Ubaidullah dari Kumpulan Rabbani.

Oleh Zul Husni Abdul Hamid, Farihad Shalla Mahmud dan Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Ibarat kisah fantasi yang sering dibayangkan dalam novel cinta, begitulah gambaran kemeriahan majlis persandingan penyanyi terkenal, Datin Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa.

Daripada riak wajah pengantin tergambar segenap rasa bahagia yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Melangkah anggun dengan persalinan kebaya moden putih, Badarsila dipetik daripada judul lagu popularnya rekaan Radzuan Radziwill ke Dewan Pameran 1 & 2, Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC), senyuman dan debaran mengiringi langkah pasangan pengantin baru itu untuk upacara bersanding.

KENANGAN MANIS: Pasangan pengantin bersama pengiring kanak-kanak
pada majlis persandingan mereka malam tadi.

Paluan irama gamelan kumpulan Tepak Sirih dari Singapura bergema di segenap ruang foyer ketika pasangan pengantin sensasi itu diarak menuju ke pelamin, Mahligai Asmara rekaan Datuk Shah Rezza dari Nusantara Gems Sdn Bhd yang tersergam di tengah dewan.

Bungaan segar melatari setiap sudut dewan seperti mengalu-alukan ketibaan lebih 2,500 tetamu yang diundang khas bagi meraikan hari bersejarah pasangan yang diijabkabulkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini, pagi Isnin lalu.

Kira-kira jam 9 malam, upacara persandingan bermula apabila pasangan mempelai sepadan itu diarak masuk dewan, serentak dipancarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi TV3.

Bermula dengan bacaan doa dan pujian ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW oleh Ustaz Asri Ubaidullah daripada kumpulan Rabbani, majlis penuh gemilang itu diteruskan dengan acara merenjis sebelum upacara makan beradab dilangsungkan.

Siti kelihatan tenang, wajah bersihnya yang disolek cantik oleh jurusolek dari Indonesia, Mia terukir senyuman bahagia namun suaminya kelihatan agak gementar, lebih banyak tertunduk ketika upacara berlangsung.

Upacara merenjis itu disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri, Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan isteri, Sultanah Nur Zahirah; Tuan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Sallahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Hajah Norkiah; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tan Sri Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Ketika acara makan beradab, sebagai halwa telinga tetamu persembahan hiburan daripada dijayakan artis terkenal tempatan dan Indonesia antaranya Azlina Aziz, Kris Dayanti, Ning Baizura, Ziana Zain, Datuk M Daud Kilau, Uji Rashid, Ezlynn, Too Phat, Nora dan Nash dipersembahkan.

Rangkaian lagu popular bertemakan cinta antaranya Syurga Di Hati Kita, Permata, Semakin Hari Semakin Sayang, Bukan Cinta Biasa, Mencintaimu, Percayalah dan Can’t Help Fallin’ Love berkumandang, seakan meraikan cinta suci mereka.

MAHLIGAI ASMARA: Pemandangan dalam dewan persandingan
hasil rekaan Datuk Shah Reza daripada Nusantara Gems.

Pengantin perempuan turut mengalunkan lagu terbarunya, Cahaya Cinta ciptaan sepenuhnya Siti yang ditujukan khas buat suami tercinta.

Peluklah daku, sayangi daku, berjanji denganku semai cinta nan satu adalah antara bait lirik Cahaya Cinta yang jelas menggambarkan betapa tinggi harapan yang diletakkan Siti terhadap istana cinta yang baru seminggu dilayarinya.

Melengkapkan hari bersejarah mereka, kedua mempelai kemudian menukar persalinan dengan rekaan Michael Ong untuk acara memotong kek perkahwinan sembilan tingkat bernilai RM12,000.

Untuk upacara itu, Siti menggayakan gaun berwarna krim dan pink bernilai RM35,000, diserikan dengan layah sepanjang enam meter yang disiapkan sepenuhnya selama sebulan.

Pasangan mempelai turut meraikan ulang tahun perkahwinan ibu bapa pengantin perempuan, Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik yang ke-38 yang kebetulan disambut semalam. Acara itu juga menjadi kejutan manis buat ibu bapa Siti yang diraikan pada malam bahagia anak kesayangan mereka.

Sebagai memeterai upacara ulang tahun itu, Siti membuat kejutan dengan menjemput kedua-dua ibu bapanya untuk memotong pulut kuning. Ishak Nengah dan Zakiah Anas bertindak sebagai pengacara sepanjang majlis persandingan itu berlangsung.

Antara artis yang hadir ialah Anita Sarawak dan suami, Mohd Mahathir Abdullah, Erra Fazira, Umie Aida, Camelia, Ella, Chef Wan, Hetty Koes Endang, Aishah, Norlia Ghani, Azwan Ali dan Betty Banafe.

Terdahulu, kira-kira jam 5.40 petang, Siti menunaikan janjinya untuk bertemu peminat yang diadakan di balkoni Tingkat 3, KLCC sebagai menggantikan acara perarakan berkuda yang dibatalkan atas sebab keselamatan.

Siti yang jelita dengan gaun putih disulami 8,888 butiran mutiara asli rekaan Khoon Hooi berharga RM300,000, sempat meluangkan masa selama tujuh minit sebelum memberi laluan kepada pihak media untuk sesi bergambar.

Lebih 1,000 peminat yang membanjiri pekarangan Taman KLCC mengambil kesempatan untuk melihat dari dekat wajah penyanyi terkenal itu, sebahagian besarnya adalah peminat warga Indonesia.

Bagaimanapun, sesi itu mengundang rasa kecewa sebahagian peminat yang hadir kerana tidak puas menatap wajah Siti yang hanya muncul dalam masa singkat sebelum kembali ke dewan untuk persiapan majlis resepsi.

Sebelum ini pihak pengurusan Siti menjanjikan sesi itu berlangsung selama 30 minit.

Maka tertunailah segala impian yang pernah Siti impikan dan lengkap kini fasa kehidupan penyanyi tersohor itu apabila bergelar isteri kepada Khalid, usahawan ternama yang bertakhta di sudut hatinya sebagai suami. [BH]

INFO
Persandingan Siti, Datuk K

  • Kek perkahwinan sembilan tingkat bernilai RM12,000.

  • Siti menggayakan gaun krim dan pink RM35,000, diserikan dengan layah sepanjang enam meter yang disiapkan sepenuhnya selama sebulan untuk upacara memotong kek.
  • Gaun putih Siti disulami 8,888 butiran mutiara asli rekaan Khoon Hooi berharga RM300,000, ketika bertemu peminat di balkoni tingkat 3 KLCC.
  • Siti turut mengalunkan lagu terbarunya, Cahaya Cinta hasil ciptaannya yang ditujukan khas untuk suami tercinta, Datuk K.
  • Siti menjemput kedua-dua ibu bapanya untuk memotong pulut kuning meraikan ulang tahun ke-38 perkahwinan mereka.
  • Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: