‘Saya tidak gementar’

ABDULLAH Ahmad Badawi tersenyum menerima gambar beliau dan Jeanne Abdullah bertulis ‘Selamat Pengantin Baru’ daripada kakitangan dan pegawai Tabung Haji di Kuala Lumpur, semalam


Oleh: FAUZI JAAFAR dan NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 8 Jun – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tampil bersemangat, segak dan dalam mood yang ceria menjelang perkahwinannya dengan Jeanne Abdullah esok, berkata, beliau tidak gementar untuk diijabkabulkan dengan Jeanne.

‘‘Tak gementar, tak ada, apa pasal nak gementar pula,” kata Perdana Menteri sambil tersenyum ketika ditanya wartawan sama ada beliau gementar menjelang majlis pernikahannya di Seri Perdana, Putrajaya tengah hari esok.

Abdullah yang kematian isteri, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood dua tahun lalu akan menamatkan zaman duda apabila memilih Jeanne untuk menjadi pasangannya. Majlis akad nikah di Seri Perdana akan dilangsungkan secara tertutup dengan dihadiri anak-anak dan saudara terdekat.

Perdana Menteri yang ditemui selepas melancarkan Projek Pembangunan Tanah Wakaf di Jalan Perak di sini hari ini berkata: ‘‘Saya harap semuanya berjalan dengan baik, insya-Allah.”

Ditanya kenapa majlis itu diadakan secara tertutup tanpa kehadiran orang ramai termasuk pihak media, Abdullah menjelaskan: ‘‘Kalau dibuat secara terbuka, ramai sangat, tak terkawal. Ia hanya untuk keluarga terdekat.”

Bagaimanapun, beliau berjanji akan memastikan gambar majlis akad nikah berkenaan diserahkan kepada pihak media bagi membolehkan ia disiarkan untuk tatapan rakyat.

Dalam suara yang menggambarkan perasaannya yang teruja, Abdullah memberitahu, orang ramai berpeluang bertemu isterinya apabila beliau mengadakan lawatan ke semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak tidak lama lagi.

‘‘Apabila saya buat lawatan ke negeri-negeri saya bawa (Jeanne) bersama, lebih mudah begitu,” katanya yang segak berbaju Melayu kelabu dan bersongket jalur hijau.

Perdana Menteri juga mengulangi harapannya supaya penganjuran majlis sambutan beliau dan isteri di negeri-negeri yang dilawatinya tidak diadakan secara besar-besaran.

“Saya pun tidak suruh negeri-negeri buat sambutan,” tambahnya.

Pada majlis hari ini, Abdullah yang tidak lekang dengan senyuman turut dihadiahkan kain songket oleh pihak penganjur.

‘‘Nak pakai esok,” katanya berseloroh ketika menerima cenderahati itu daripada Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Zainol Mahmood.

Zainol turut menyerahkan sekeping gambar berbingkai emas yang bertulis ‘Selamat Pengantin Baru’ memaparkan wajah Abdullah yang digandingkan dengan Jeanne.

Para hadirin termasuk ahli-ahli UMNO Bahagian Kepala Batas, Besut dan Pekan yang dibawa khas ke majlis itu oleh penganjur mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri. [utusan.com.my]


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: