Isteri 3 jam


Oleh Riadz Radzi, Rashidi Karim dan Irma Ernany Mohd
am@hmetro.com.my

KANGAR: Hanya tiga jam. Itulah tempoh sempat dinikmati seorang lelaki untuk bergelar suami sebelum menemui ajal dalam kemalangan ngeri apabila kereta dinaikinya bertembung sebuah bas persiaran di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.05 tengah hari itu, Mohd Ariff Ab Kadir, 23, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Melati Indah, Beseri, dekat sini, selepas majlis akad nikah di masjid berhampiran rumah keluarga isterinya, Teh Affifah Shahirah Abd Hamid, 23, di Taman Berlian, Alor Star, kira-kira jam 10 pagi.

Turut terbunuh kedua-dua ibu bapa Mohd Ariff iaitu Apsah Othman, 58, dan Ab Kadir Awang, 55, serta rakan karibnya, Mohd Farhan Musa,18.

Mohd Ariff yang baru saja menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal di sebuah universiti di United Kingdom, tahun ini, sepatutnya memulakan tugasnya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau, dekat sini, Rabu depan.

Abang sulung Mohd Ariff, Mohd Hazly, 32, berkata, rombongan keluarga pengantin lelaki yang menaiki empat kereta bertolak ke sini kira-kira jam 11.30 pagi, selepas tamat majlis akad nikah di Masjid Intan Safinaz, Anak Bukit, Alor Star.

“Bagaimanapun, konvoi kami terpisah sebaik tiba di Kangar dan saya yang menaiki kereta lain tiba di rumah terlebih dulu.

“Namun, kira-kira 15 minit kemudian saya mendapat panggilan daripada bapa Mohd Farhan menyatakan kereta dinaiki adik saya terbabit kemalangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.

Menurut Mohd Hazly, dia bersama beberapa ahli keluarga bergegas ke tempat kejadian kira-kira lima kilometer dari rumah mereka dan terkejut mendapati Proton Iswara dinaiki mangsa remuk.

“Sebaik nampak keadaan kereta yang remuk, saya tak sampai hati mendekatinya kerana tahu mereka sudah meninggal dunia,” katanya sebak.

Menurutnya, kejadian itu sangat mengejutkan dan tidak menyangka ia berlaku pada hari pernikahan adik bongsunya.

“Sebaik selesai majlis akad nikah, saya lihat ketiga-tiga mereka cukup ceria. Sebelum ini mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap kecuali merancang pulang awal ke rumah bagi membuat persediaan majlis kenduri di rumah pengantin perempuan esok (hari ini),” katanya.

Menurutnya, bapanya yang juga pembantu makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Syed Putra di sini, dan ibunya seorang suri rumah, tidak sabar menyambut menantu bongsu mereka.

“Saya tidak sangka majlis yang sepatutnya menggembirakan kami sekeluarga bertukar tragedi, namun saya reda,” katanya.

Mohd Hazly berkata, majlis persandingan adiknya sepatutnya berlangsung hari ini di sebelah pengantin perempuan di homestay Taman Kancil, Alor Star, manakala majlis menyambut menantu di sebelah lelaki di Taman Melati Indah di sini, esok.

Sementara itu, isteri mangsa, Teh Affifah ketika ditemui enggan ditemubual kerana terlalu sedih dan masih terkejut dengan kejadian itu.

Difahamkan, Teh Affifah masih menuntut di sebuah universiti di Australia dan pulang ke sini untuk majlis perkahwinannya.

Mereka berkenalan ketika sama-sama menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, dekat sini, sebelum mengambil keputusan berkahwin apabila Mohd Ariff tamat pengajian di United Kingdom.

Teh Affifah pula masih mempunyai setahun lagi untuk menamatkan pengajian.

Semua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Beseri, malam tadi.

Mohd. Faiz (kiri) begitu sedih melihat keadaan kereta yang mengorbankan Mohd. Ariff, ibu dan bapanya di Jalan Kangar-Padang Besar, Perlis semalam. [Foto: Kosmo!]


Tubuh, kepala cedera parah

KANGAR: Siasatan polis mendapati kereta yang terbabit kemalangan ngeri sehingga mengorbankan tiga sekeluarga dan seorang remaja di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar, dekat sini, semalam memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas persiaran.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Zull Aznam Haron, berkata semua mangsa yang menaiki kereta Proton Iswara itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Mangsa yang maut dalam kejadian jam 1.05 tengah hari itu ialah Mohd Ariff Ab Kadir, 23, yang baru tiga jam bernikah dengan pasangannya, Teh Affifah Shahirah Abd Hamid, 23, serta ibu dan bapa Mohd Ariff, Apsah Othman, 58, dan Ab Kadir Awang, 55.

Turut maut dalam kejadian itu rakan Mohd Ariff, Mohd Farhan Musa, 18, yang juga jurugambar bagi majlis pernikahan itu.

Zull Aznam berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk dibedah siasat dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan berkenaan.

Beliau berkata, pemandu serta 27 penumpang bas persiaran dari Klang, Selangor yang dalam perjalanan pulang dari Padang Besar ke Kangar itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kami sudah mengambil keterangan pemandu dan beberapa penumpang bas terbabit dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Kereta diseret 10 meter

KANGAR: “Saya nampak kereta itu tiba-tiba berpusing-pusing sebelum merempuh sebuah bas persiaran dari arah bertentangan,” kata saksi kejadian, Mat Saad Senapi.

Mat Saad, 75, yang ketika itu dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat, berkata dia hairan bagaimana kereta Proton Iswara itu boleh berpusing sehingga memasuki laluan bertentangan seterusnya merempuh bas berkenaan.

“Saya tidak tahu sama ada tayar kereta itu pecah atau terkena angin lintang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar, dekat sini semalam.

Mat Saad berkata, dia kemudian menghentikan motosikalnya dan terkejut apabila mendapati keadaan mangsa yang parah termasuk cebisan daging mangsa yang terlekat pada badan kereta berkenaan.

“Saya sempat membisikkan kalimah syahadah kepada empat mangsa kemalangan itu kerana sudah menjangka ajal mereka akan tiba berdasarkan kecederaan mereka yang parah.

“Saya lihat semua mangsa tersepit dalam kereta yang remuk teruk itu dan ketika itu mereka dalam keadaan nazak serta tidak mampu bergerak,” katanya.

Mat Saad berkata, selepas merempuh bas persiaran berkenaan, kereta dinaiki empat mangsa itu diseret lebih 10 meter sebelum terhenti berhampiran longkang di tepi jalan raya.

“Kereta terbabit remuk menyebabkan orang ramai gagal mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menunggu kehadiran anggota bomba untuk memotong bumbung,” katanya.

[Foto: Kosmo!]
Majlis bersanding jadi kenduri arwah

Oleh Riadz Radzi, Rashidi Karim dan Irma Ernany Mohd

am@hmetro.com.my

ALOR STAR: Majlis persandingan pasangan Mohd Ariff Ab Kadir, 23, dan Teh Affifah Shahirah Abd Hamid, 23, yang sepatutnya berlangsung hari ini di homestay Taman Kancil, di sini, bertukar menjadi kenduri arwah apabila Mohd Ariff maut dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar, Perlis, semalam.

Pasangan terbabit bernikah di Masjid Intan Safinaz, Anak Bukit, di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam, sebelum Mohd Ariff maut dalam kemalangan itu tiga jam kemudian.

Turut maut dalam kemalangan itu ialah ibu dan bapa Mohd Ariff, Apsah Othman, 58, dan Ab Kadir Awang, 55, serta rakannya, Mohd Farhan Musa, 18.

Teh Affifah yang menetap di Taman Berlian, di sini, mengadakan majlis persandingan itu di homestay berkenaan tidak jauh dari rumah keluarganya.

Jirannya, Abd Jabir Mokhtar, 50, yang juga Setiausaha Surau Taman Berlian, berkata malam tadi Teh Affifah sepatutnya mengadakan majlis khatam al-Quran di surau berkenaan.

“Namun, majlis itu dibatalkan dan kami mengambil-alih dengan mengadakan bacaan tahlil,” katanya ketika ditemui, semalam.

Tinjauan Harian Metro semalam di homestay berkenaan mendapati pelamin serta bilik tidur pengantin sudah disiapkan untuk majlis persandingan yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Difahamkan, keluarga terbabit sudah menjemput lebih 1,500 tetamu dan majlis itu tetap diteruskan tetapi dengan mengadakan kenduri arwah.


[Foto: Kosmo!]
TEH Affifah Shahirah Abd Hamid tidak dapat menahan sebak ketika menziarahi jenazah suaminya, Mohd Ariff Ab Kadir yang maut bersama tiga lagi dalam kemalangan di Kangar tengah hari semalam, selepas pulang dari majlis akad nikah di rumahnya, di Alor Setar. Beliau sempat bersalaman dengan suaminya dan menerima kucupan pada dahinya pada majlis membatalkan wuduk selepas pernikahan pada jam 10 pagi sebelum kemalangan pada jam 1.05 minit tengah hari.
Sempat sarapan bersama

KANGAR: “Kami bertiga sempat bersarapan pagi tadi (semalam) di sebuah gerai berhampiran Pasar Besar Kangar di sini, sebelum arwah anak bongsu saya memaklumkan untuk menemani rakannya melangsungkan pernikahan,” kata Musa Awang, 50-an, bapa kepada Mohd Farhan, 18, yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas persiaran di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar, dekat sini, semalam.

Musa, anggota polis di Balai Polis Kangar, berkata anaknya itu bangun awal pagi semalam untuk menunggu kepulangan ibunya dari Kuala Lumpur di stesen bas ekspres di sini sebelum membawa ibunya untuk bersarapan.

“Saya turut sama bersarapan dengan arwah dan kami bertiga berbual panjang. Saya ketika itu tidak melihat sebarang perubahan terhadap diri arwah dan dia kelihatan biasa saja,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.

Musa berkata, anak bongsunya yang menuntut di Kolej Komuniti Arau, dekat sini, sangat meminati bidang fotografi dan bertindak sebagai jurugambar untuk majlis pernikahan Mohd Ariff.

Katanya, Mohd Farhan dan Mohd Ariff adalah rakan karib dan berjiran di rumah mereka di Taman Melati Indah, dekat sini.

“Saya mengetahui kemalangan terbabit menerusi seorang rakan yang menghubungi balai polis Kangar dan terkejut mendapati anak saya sudah tidak bernyawa apabila tiba di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Farhan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tunjung, Beseri, dekat sini, malam tadi.

Sumber: Harian Metro untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, manggis.info

Dikirim dalam Tragedi. Leave a Comment »

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: