Keradangan pundi kencing bulan madu

Terasa mahu buang air kecil ketika mengadakan hubungan seks

DOKTOR, saya dan suami terpisah dari segi jarak dan masa kerana kami bertugas di negeri yang berlainan. Tetapi mengapa setiap kali bersama, saya terasa mahu membuang air kecil yang terlampau?

Saya selalu meminta suami menghentikan hubungan kerana saya tidak boleh lagi bertahan tetapi sebaik saja dia berhenti, rasa membuang air kecil terus hilang. Apa sebenarnya masalah saya?

MARINA AHMAD

Melalui e-mel

SEBILANGAN wanita yang baru memulakan hubungan keintiman seksual penetratif mendapati yang mereka mudah mengalami masalah kencing kerap dan sakit atau dalam istilah perubatan ‘disuria’ dan apabila mereka merujuk kepada doktor, doktor akan jelaskan yang mereka mengalami masalah keradangan pundi kencing bulan madu atau ‘honeymoon cystitis’kerana kaitannya kepada hubungan seksual yang mana setiap kali pasangan berjumpa dan melepaskan geram masing masing, mereka akan mengalaminya!

Keradangan pundi kencing akibat infeksi yang merebak ke pundi kencing dan mengakibatkan pundi kencing radang dan mencengkam, akan menimbulkan perasaan kesakitan hendak kencing tetapi tiada kencing keluar atau sedikit kencing yang keluar. Sesetengah doktor memberi ubat antibiotik untuk wanita itu makan supaya jangkitan kuman tidak berlaku.

Tetapi wanita itu boleh mengalami kesan sampingan akibat rawatan itu apabila antibiotik itu membunuh kuman semula jadi dalam faraj dan usus dan mengakibatkan jangkitan kulat yis dalam faraj dan usus!

Ada juga doktor yang menasihatkan wanita itu buang air kecil setiap kali selepas bersetubuh dan ini akan mengakibatkan air mani keciciran keluar dari faraj ketika wanita itu bergerak ke tandas untuk buang air kecil .Ini sudah tentu akan menjejaskan kemungkinan kehamilan untuk wanita itu. Jadi apa perlu dilakukan jika semua yang disyorkan itu ada membawa kesan sampingan?

Mungkin cara yang berkesan untuk mengelakkan diri daripada terkena gejala honeymoon cystitis ialah untuk wanita itu mengelakkan geselan ketara anggota sulit pasangannya kepada pembukaan lubang kencingnya yang terletak di paras bersebelahan langit faraj dengan mendekatkan kedua dua lutut ke dadanya ketika dia bersama dengan pasangan.

Dia perlu melegakan pembukaan faraj dengan tidak mengemut dan memposisikan tubuhnya supaya geselan ereksi pasangan tidak tertumpu kepada pembukaan salur kencing. Dia boleh amalkan posisi yang mana dia tidak akan dapat geselan ereksi kepada pembukaan salur kencing seperti posisi dia di atas dan untuk tujuan merancang kehamilan dia menerima ereksi pasangan dari belakang.

Dalam melakukan apa-apa posisi persetubuhan dia perlu bekerjasama dengan pasangan, melegakan pembukaan faraj dan membantu pasangan memasukkan ereksi ke pembukaan faraj dengan dia sendiri yang memegang ereksi dan menghalakan ereksi ke pembukaan anggota sulitnya.

Dengan cara sedemikian dia dapat mengawal pembukaan farajnya sambil memberi ruang kepada ereksi suami. Dengan cara yang sedemikian dia tidak akan terdedah kepada keradangan pundi kencing dan tidak akan menghampakan pasangannya


Ingin perbetul rahim ke belakang

SAYA berhadapan dengan masalah rahim ke belakang. Saya ingin tahu bolehkah rahim dalam keadaan itu dibetulkan semula dengan cara urutan tradisional? Benarkah selepas wanita uzur disarankan menunggu hingga sampai waktu subur baru boleh bersama?

MAZLINA SHAHID

Melalui e-mel

KEDUDUKAN rahim ke belakang atau ’tilted uterus’ atau ‘retroverted uterus’ didapati berlaku kepada 20-30 peratus wanita yang mana sebahagian besar daripadanya tidak tahu yang dia mempunyai kedudukan rahim yang sebegitu kecuali dia telah menjalani pemeriksaan ‘pelvik’ dan doktor yang memberitahunya.

Kebiasaannya kedudukan rahim ke depan. Ketika tumbesaran rahim berlaku rahim yang ke belakang sepatutnya bergerak ke depan tetapi sebaliknya kekal dengan posisi ke belakang. Jadi untuk sebilangan besar wanita kedudukan rahim ke belakang ialah perkara semula jadi dan tidak perlu dipulihkan.

Ada juga wanita yang mempunyai kedudukan rahim ke belakang selepas bersalin. Ada juga wanita yang kedudukan rahim ke belakang akibat penyakit endometriosis atau lekatan tisu (adhesions) yang menambat rahim ke belakang! atau akibat ketumbuhan fibroid.

Wanita yang mempunyai kedudukan rahim ke belakang akan dapati air mani suaminya tidak kekal dalam faraj walaupun mereka membuka peha dan melegakan pembukaan faraj, air mani masih keluar. Ini kerana bahagian dalam faraj tertindih oleh rahim yang berkedudukan ke belakang. Ini mungkin sebab wanita itu gagal mencapai kehamilan!

Keadaan ini boleh diubah dengan memposisikan badannya secara menyujud rahim akan beralih ke depan dan sekiranya hubungan kelamin dilakukan dengan memasukkan zakar dari belakang, air mani akan kekal dalam faraj. Wanita itu boleh berubahkan posisi dari menyujud kepada mengiring beberapa minit kemudian.

Posisi rahim ke belakang tidak boleh diubah melalui urut kerana otot yang terlibat ada di dalam dan tidak sampai untuk mengalihkannya. Ada sesetengah pakar urut barat menyarankan wanita yang mempunyai kedudukan rahim ke belakang melakukan senaman seakan akan menyujud dan kononnya rahim akan kembali ke depan. Tiada kajian yang dibuat tentang ini. Posisi rahim hanya boleh diubah melalui pembedahan yang mana kaedah ini tidak lagi disyorkan kerana risiko kecederaan dalaman.

Wanita yang mendapati posisi rahimnya ke belakang tidak perlu buat apa apa persediaan atau persiapan mengenai hubungan seksual, iaitu dia boleh lakukan hubungan kelamin bila-bila masa tetapi ketika dia dalam keadaan subur dia perlu melebihkan hubungan seksual melalui posisi belakang.


Usah takut jalani ujian pap smear

SAYA ingin hamil lagi selepas anak sulung saya berusia enam tahun. Bagaimanapun saya masih gagal hamil hingga kini. Haid saya normal dan empat tahun lalu saya pernah mengambil pil perancang tetapi saya takut menjalani ujian pap smear. Apa pandangan doktor?

INGIN HAMIL LAGI

Kuching, Sarawak

SERVIKS yang juga dipanggil pangkal rahim terletak pada hujung faraj. Barah boleh berlaku di serviks tetapi ia boleh dihalangi kerana doktor boleh mengenali atau mengenal pasti keluarbiasaan pada sel di permukaan serviks pada peringkat awalnya.

Sebelum ia menjadi barah, keluarbiasaan ini dipanggil CIN (cervical intraepilhelial neoplasia). CIN tidak memberi sebarang tanda atau simptom. Ia hanya boleh dikesan apabila seseorang wanita menjalani pemeriksaan pap smear. Sel yang tidak normal ini perlu dirawat atau diawasi untuk memastikan ia tidak melarat menjadi barah serviks.

Pemeriksaan pap smear tidak menyakitkan ketika dijalankan melainkan jika anda tidak bertenang ketika menjalani pemeriksaan. Wanita yang terlalu takut juga boleh menyebabkan pemeriksaan terlalu sukar untuk dijalankan.

Jika wanita itu tenang, pemeriksaan pap smear hanya mengambil masa beberapa minit saja. Perasaan kurang selesa mungkin timbul tetapi bukannya sakit.

Pemeriksaan ini penting untuk mengesan sel yang tidak normal dan boleh menjadi barah jika dibiarkan. Ingatlah, mencegah lebih baik daripada merawat.

Secara amnya, setiap wanita yang mengadakan hubungan seks antara umur 20 hingga 64 tahun perlu menjalani pemeriksaan pap smear. Jika remaja melakukan seks terutama dengan berbilang pasangan, pemeriksaan pap smear sangat digalakkan.

Risiko untuk barah serviks berkait rapat dengan umur ketika hubungan seks pertama dilakukan, jumlah pasangan dan merokok. Lebih awal bermulanya hubungan seks dan lebih banyak pasangan, maka lebih tinggi risiko mendapat barah serviks. Ujian pap smear perlu dilakukan secara berkala.

Selain pemeriksaan sel di bahagian serviks, ada banyak lagi manfaat daripada pemeriksaan keseluruhannya seperti pemeriksaan dalaman, ujian ultra sound atau pemeriksaan payu dara dan tekanan darah.

Kekerapan ujian pap smear ialah setiap tahun bagi dua kali yang pertama. Jika kedua-dua keputusan ujian itu normal, bolehlah dijarakkan pemeriksaan pap smear kepada dua hingga tiga tahun sekali.

Langkah ini dicadangkan kerana jarak tahunan atau tiga tahun sekali masing-masing mengurangkan risiko barah serviks 91 peratus dan 93 peratus. Jika semua ujian pap smear normal, seseorang wanita boleh berhenti menjalani pemeriksaan itu selepas 65 tahun.

Bagaimanapun, jika wanita itu berumur 65 tahun dan tidak pernah menjalani pemeriksaan pap smear, wanita itu digalakkan menjalani pemeriksaan berkenaan.

Wanita yang sudah membuang rahim melalui pembedahan, tidak perlu menjalani pemeriksaan pap smear kecuali pembedahan itu dilakukan kerana CIN pada serviks.

Dalam keadaan ini, ujian vault smear perlu dijalankan setiap tahun. Bagi masalah kurang subur selepas melahirkan seseorang anak, puan dinasihatkan datang berjumpa doktor kerana kemungkinan besar tiub fallopia puan tersumbat.

Pemeriksaan perlu dijalankan bagi memastikannya. Risiko tersumbat tiub fallopia agak tinggi jika puan mendapat jangkitan pelvis ketika dalam pantang.

http://www.palmdaledirectory.net/?ref=12

Empat isteri hias sebuah rumah

Oleh Daud Awang

JOHARI melihat keratan akhbar yang menyiarkan
kisahnya bersama tiga isterinya Siti (kiri)
Burok (dua dari kiri) dan Jamilah.

Kebiasaannya Johari menyambut Syawal bersama 29 anak, 100 cucu dan 40 cicit di kediamannya di Kampung Teluk Rimba
PROFIL Johari Kitam, bekas Ketua Kampung Teluk Rimba
ISTERI: Burok Kasim, Siti Kamas, Supinah Jowahir dan Jamilah Dol
ANAK: 29 orang
CUCU: 100 orang
CICIT: 40 orang

FAJAR 1 Syawal akan menyinsing tidak lama lagi dan saat itu amat dinantikan bekas Ketua Kampung Teluk Rimba, Johari Kitam, 89, serta empat isterinya, Burok Kanin, 80; Siti Kamas, 78; Supinah Jowahir, 76; dan Jamilah Dol, 74 untuk melayani anak, cucu dan cicitnya.

Ini kerana pada hari lebaran itulah seisi keluarga akan berkumpul di rumahnya di Kampung Teluk Rimba, Sungai Mati, Muar, bersempadan Sungai Rambai, Melaka. Kini, Johari dikurniakan 29 anak, lebih 100 cucu dan 40 cicit.

Isteri pertama, kedua dan ketiga masing-masing melahirkan tujuh anak manakala isteri keempat, lapan anak yang kini menetap dari Perlis hingga ke Johor. Semua mereka sudah berumah tangga.

“Mungkin tidak semua anak saya akan pulang serentak, tapi kehadiran lima atau enam keluarga sudah cukup memeriah dan meriuhkan rumah ini yang agak sunyi sekarang kerana kami hanya tinggal berlima.

“Jika mereka pulang, lelaki akan tidur di surau kerana rumah ini tidak dapat menampung jumlah yang terlalu ramai,” katanya yang sering tersenyum dan dipercayai menjadi ‘azimat’ boleh menghimpunkan keempat-empat isterinya di bawah satu bumbung.

Mengimbau kembali sewaktu anak-anaknya masih kecil, Johari berkata beliau menyediakan wang yang agak banyak untuk membeli pakaian baru isteri dan anak-anak serta juadah hari raya.

“Ketika itu, kami hanya membuat persiapan ala kadar, seperti membuat ketupat dan kuih-muih untuk membolehkan semua ahli keluarga menyambut hari raya bersama.

Johari berkata, semua persiapan dan hiasan rumah juga dikongsi bersama bagi mengeratkan hubungan keempat-empat isterinya.

“Mungkin apa yang dibeli tidak sama dan ini boleh menimbulkan rasa cemburu,” katanya.

Menceritakan kembali bagaimana beliau boleh beristeri empat, Johari berkata, ketika zaman British pada tahun 1940-an beliau bertugas sebagai mandur di Jabatan Parit dan Taliair (kini Jabatan Pengairan dan Saliran).

Ketika itu juga, hanya beliau satu-satunya pemuda yang memiliki motosikal BSA yang memudahkan pergerakannya.

Ketika berulang alik ke tempat kerjanya di Kesang Tasik, Melaka, beliau ternampak isteri pertamanya, Burok mengintainya di celah tingkap.

“Ini membuatkan hati pak cik ingin melihat gadis yang suka mengintai itu. Ditakdirkan ada satu majlis di masjid Kesang Tasik, pak cik berpeluang melihatnya dan terus jatuh hati lalu melamar dan berkahwin,” katanya.

Johari berkahwin dengan isteri pertamanya, Burok Kasim pada 1940 ketika berusia 19 tahun manakala isterinya ketika itu berusia 13 tahun.

Beliau berkata, selepas setahun berkahwin, dia bertemu dengan isteri kedua, Siti, di Pangkalan Besar, Tangkak, Johor. Ketika itu bakal isterinya mengambil upah membuat sumpit (bakul).

“Saya maklumkan hasrat itu kepada isteri pertama dan dia setuju. Lagi pun waktu itu tidak perlu melalui proses mahkamah. Jadi, kami pun bernikah,” katanya.

Dua tahun kemudian, Johari melahirkan hasratnya untuk berkahwin satu lagi dan memaklumkan kepada kedua-dua isterinya. Mereka bersetuju, lalu beliau berkahwin dengan Supinah yang ketika itu berumur 15 tahun.

Pada akhir pemerintahan British dan ketika bertugas sebagai Home Guard, Johari yang ketika itu berusia 23 tahun memaklumkan kepada ketiga-tiga isterinya untuk berkahwin lagi.

Berikutan itu, isteri pertama dan ketiga turut membantunya meminang Jamilah untuk dijadikan isteri keempat.

Semua isterinya, masing-masing mempunyai sebuah bilik berasingan. Beliau juga membina empat dapur di rumah yang mempunyai lapan bilik bagi membolehkan isterinya menguruskan rumah tangga dan menyediakan makanan untuk anak masing-masing.

Burok pula berkata, pada peringkat awal beliau memang marah apabila suaminya berkahwin lagi kerana takut hidup bermadu.

“Mak cik mengambil masa kira-kira setahun untuk menghilangkan kemarahan, tetapi kini perasaan itu hilang sendiri. Ilmu apa yang pak cik pakai makcik tak tahu. Perasaan marah meluap-luap boleh hilang sebaik saja melihat dia (Johari).

“Sebab itulah mak cik dan isteri ketiga sanggup pergi meminang madu yang keempat selepas mengetahui beliau ingin berkahwin lagi,” katanya.

Johari yang dipujuk berkali-kali supaya menurunkan ilmu atau petuanya tetap menyatakan tidak ada sebarang petua untuk menyejukkan perasaan marah isteri, kecuali membanyakkan istighfar dan bersabar.

“Pak cik tak sembunyi nak kahwin. Pak cik berterus terang agar semua isteri tahu,” katanya sambil menambah tidak seorang pun anak lelakinya mengikut jejaknya.

Johari berkata, beliau tidak menghadapi sebarang masalah apabila sakit atau demam kerana semua isterinya sedia merawatnya.

Isteri keempatnya, Jamilah berkata beliau juga terharu kerana semua madunya sanggup bersengkang mata untuk membantunya ketika diserang angin ahmar.

“Sebelah anggota badan mak cik lumpuh. Kakak-kakaklah yang membantu menyuapkan makanan dan mempersiapkan diri.

“Tanpa bantuan mereka sukar bagi macik menjalani kehidupan harian. Alhamdulillah, anggota yang tidak boleh digerakkan sebelum ini sudah beransur pulih, kecuali tangan kiri masih lemah,” katanya sayu.

Jamilah berkata, sebagai isteri muda, beliau sungguh bahagia walaupun terpaksa bermadu kerana mendapat layanan adil.

“Persefahaman yang wujud menyebabkan semua isteri menganggap anak tiri seperti anak sendiri dan tidak membezakan antara satu sama lain,” katanya.

Siti pula menyifatkan hidup bermadu banyak membantu dan meringakan beban keluarga.

“Sikap saling membantu membolehkan semua 29 anak kami dilahirkan di rumah tanpa bantuan orang lain.

“Jika mak cik melahirkan anak, madu yang lain akan membantu menguruskan makanan dan membasuhkan pakaian di samping menjaga anak yang lain,” katanya.

Berkat kesabaran, tolong-menolong dan iltizam keempat-empat madu ini membolehkan mereka terus tinggal sebumbung bersama Johari sejak 40 tahun lalu.

Berikutan itu, keluarga terbabit menerima Anugerah Ibu Bapa Mithali peringkat daerah Muar pada 2001 dari Jabatan Agama Johor (JAJ) dan Anugerah Keluarga Bahagia sempena Hari Keluarga Kebangsaan peringkat Muar pada 2001 daripada kerajaan Johor.

Wanita dan Seks: Krim pelembab atasi kesakitan ketika bersama



BEBERAPA hari selepas bersalin, jahitan terbuka tetapi selepas dirujuk kepada doktor dimaklumkan ia tidak perlu dijahit semula. Tetapi saya sukar membuang air besar dan apabila dirujuk sekali lagi, doktor memberitahu terdapat luka di dubur saya iaitu “fisher”. Ia hanya boleh dibetulkan selepas melahirkan anak kedua nanti.

Masalahnya, apabila bersama suami, ia menjadi sangat pedih. Paling menakutkan, saya dapati ada kesan darah pada seluar dalam dan ianya bukan haid. Kata doktor, saya mungkin dijangkiti herpes. Itu tidak benar kerana kami suami isteri yang sah. Kata doktor lagi, jika bukan sebab hubungan bebas mungkin kerana saya menggunakan tandas awam.

Ujian pap smear saya normal tetapi saya menggunakan pelincir apabila bersama suami untuk kurangkan pedih, malangnya kesakitan masih dirasai. Doktor, apakah ubat kebas lain yang boleh saya gunakan?

ISTERI TRAUMA
melalui e-mel

SEMEMANGNYA isu kesihatan perlu dipertikaikan supaya tidak memberi tekanan kepada individu. Selagi tiada penyelesaian, selagi itulah mereka yang mengalaminya tidak akan berasa senang.

Pembedahan yang dilakukan kepada pembukaan faraj ketika puan dalam keadaan hendak melahirkan anak sulung, ialah pembedahan ‘episiotomi’ atau pembedahan untuk meluaskan pembukaan faraj supaya pengeluaran bayi mudah dan pembukaan tidak terkoyak jika tekanan berlaku kepadanya akibat pengeluaran bayi.

Kebiasaannya, bukaan akan dicantumkan kembali dengan jahitan yang mana bahagian otot dan bahagian dalaman dijahit secara berasingan manakala bahagian kulit juga dijahit secara berasingan.

Ada sebilangan wanita yang alah dengan bahan jahitan diperbuat dari perut lembu dan jika itu berlaku luka tidak mudah bercantum, sebaliknya doktor akan membuat jahitan sekunder dengan menggunakan bahan sintetik seperti benang sutera yang perlu dipotong selepas jahitan cantum.

Apabila bahagian luar pembedahan itu tidak bercantum dengan betul, kulit sekunder akan menjadi tipis, berkedut, kering dan bahagian ini akan sentiasa sakit atau pedih apabila digesel seperti yang berlaku ketika bersetubuh.

Jeli pelembap seperti Top Gel dari Durex sesuai sebagai pelembap licin. Topaz tidak sesuai kerana ia mengandungi l-arginine yang boleh menyebabkan jangkitan herpes mudah kembali jika wanita itu pernah menghidapnya. Wanita yang mempunyai parut episiotomi yang keras dan ketumbuhan kulit yang tipis akan mengalami dispareunia luaran atau ‘superficial dyspareunia’ iaitu sakit setiap kali melakukan hubungan seks.

Apabila parut menjadi lembut dan kulit tipis mula menebal dan wanita itu melegakan pembukaan faraj ketika anggota sulit suami mula masuk, rasa sakit akan kurang dan hubungan kelamin menjadi lebih selesa.

Jika bekas parut menyakitkan boleh gunakan krim pengebas seperti (lignocaine gel 2 peratus). Krim pengebas tidak akan mengganggu bahagian lain anggota sulit wanita (seperti klitoris dan G-Spot dan langit faraj) jika krim itu tidak disapu di situ. Seseorang wanita itu masih mampu mencapai klimaks.

Jangkitan herpes perlu dipastikan sama ada ia akibat jangkitan dari kuman virus Herpes Simplex l yang berlaku kepada mulut, ‘oral herpes’ atau jangkitan Herpes Simples ll yang berlaku kepada anggota sulit. Kadangkala kedua-dua jenis Herpes terdapat pada anggota sulit.

Jangkitan jarang berlaku akibat tersentuh tempat duduk tandas awam kerana jangkitan ini lebih kepada seksual atau seks oral ketika pasangan ada bekas jangkitan kepada mulut (seks oral) atau anggota sulit.

Bagaimanapun, mustahak untuk memastikan sama ada puan ada menghidap jangkitan itu melalui ujian darah. Jangan terburu-buru memikirkan yang bukan-bukan tentang jangkitan ini kerana ia boleh juga berlaku kepada mereka yang belum berkahwin dan tidak pernah melakukan hubungan seks sama ada secara ‘oral’ atau ‘genital’. Jangkitan ini berlaku kepada 45 juta rakyat Amerika dan kini secara global terdapat 30 peratus peningkatan jangkitan.

Mengenai ‘anal fissure’ atau kemerkahan kulit yang mengelilingi pembukaan lubang najis, ia berlaku akibat tekanan najis ke bahagian bawah pembukaan lubang najis, yang menyebabkan kulit tertarik dan merekah. Makan makanan yang mengandungi banyak serat dapat membantu melembutkan najis dan memudahkan pengeluarannya. [Sumber: Wanita dan Seks: Krim pelembab atasi kesakitan ketika bersama]

Isteriku lelaki

Edisi KL : Isteriku lelaki

Oleh Rashidi Karim

KANGAR: Satu pasangan suami isteri sedang disiasat pihak berkuasa agama Islam kerana meragui status jantina si isteri yang dikatakan lelaki selepas mereka berkahwin, baru-baru ini.

Perkahwinan pasangan itu terbongkar apabila si `isteri’ membawa pulang suami ke rumahnya di Utan Aji, dekat sini, untut memaklumkan kepada keluarga mengenai perkahwinan mereka.

Sumber berkata, si isteri itu berusia awal 20-an adalah penduduk tempatan manakala suaminya berusia 30-an berasal dari Alor Star dan kes mereka kini dalam siasatan Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips).

Beliau berkata, pasangan itu mendakwa berkahwin di negara jiran sejak sebulan lalu atas dasar cinta tanpa pengetahuan keluarga masing-masing.

“Bagaimanapun, perkahwinan itu terbongkar apabila si isteri membawa suami kesayangannya pulang ke rumahnya di Utan Aji, untuk memaklum kepada keluarga.

“Bapanya yang tahu anaknya seorang lelaki berang lalu menelefon polis kerana beranggapan anaknya tidak layak dipanggil isteri,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kes itu sudah dirujuk kepada pihak berkuasa agama negeri dan siasatan terperinci, termasuk mengenal pasti status jantina isteri terbabit sudah dilakukan.

Jurucakap polis ketika dihubungi enggan menggulas perkara itu kerana menganggap kes itu adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama.

Sementara itu, Bahagian Penguatkuasa Jaips ketika dihubungi Harian Metro enggan menggulas mengenai dakwaan wujud perkahwinan sesama lelaki kerana siasatan masih dijalankan.

“Kami tidak boleh mendedahkan perkara ini kerana ia boleh menjejaskan imej Perlis. Anda (wakil Harian Metro) selalu menimbulkan masalah kepada kami.

“Saya enggan memberi sebarang komen. Tunggu pengarah balik daripada mengerjakan Umrah,” kata seorang pegawai penguat kuasa Jaips.

Sumber itu berkata, pasangan itu hadir ke pejabat Jaips beberapa hari lalu untuk diambil keterangan manakala si isteri sudah diminta menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Pemeriksaan doktor mendapati si isteri langsung tidak mempunyai fizikal seorang wanita, cuma jiwa dan perasaan lebih kepada wanita.

“Lelaki berkenaan yang juga suaminya dikatakan mengetahui kedudukan isterinya tetapi tidak mengambil sebarang tindakan kerana terlalu mencintai pasangannya,” katanya.

Katanya, lelaki dari Kedah dan pasangannya itu dikatakan mahu mendaftar perkahwinan mereka di Perlis.

“Si suami dikatakan dalam keadaan tertekan dan takut berpisah dengan pasangannya serta kerap menghubungi Jaips bagi mempercepatkan keluaran surat nikah yang sah,” katanya.

Siti impikan keberkatan perkahwinan


Oleh Zubir Mohd Yunus

WEDDING of the year 2006 milik Diva Pop Negara, Siti Nurhaliza Taruddin? Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Apabila dirinya diajukan soalan adakah dia akan menamatkan zaman solonya tahun depan, gara-gara spekulasi perkahwinannya yang dikatakan akan berlangsung sekitar 2006, Siti tidak memberikan jawapan pasti. Dia terus bermain teka-teki.

MEMANG sukar untuk Siti membuka mulut apabila diminta memberi gambaran awal mengenai majlis perkahwinannya yang diramal berlangsung sekitar 2006.

Sejak dikaitkan mempunyai hubungan perniagaan dengan tokoh korporat yang hanya dikenali sebagai Datuk K, dirinya terus dihambat spekulasi demi spekulasi dan terbaru, Siti dikatakan bakal melangsungkan perkahwinannya pada Ogos atau September tahun depan selepas dia menjayakan semua urusan kerjaya nyanyiannya terutama siri konsert jelajahnya di seluruh Indonesia yang dijadual bermula awal tahun depan.

Justeru, Siti dikatakan terpaksa menangguh urusan perkahwinannya agak lewat walaupun pada mulanya ramai yang menjangkakan sesuatu ‘keajaiban’ akan berlaku pada 11 Januari depan yang juga ulang tahun hari jadinya yang ke-27.

Apabila diajukan soalan itu, Siti tergelak kecil lalu memberitahu, dia tidak pernah merancang apatah lagi mempunyai sebarang tarikh perkahwinan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

“Apabila bercakap mengenai rancangan perkahwinan, saya sebenarnya tak pernah menetapkan sebarang tarikh, tempat dan siapa orangnya. Jodoh pertemuan, ajal dan maut semuanya ketentuan Tuhan. Ia akan datang suatu hari nanti, insya-Allah.

“Orang kata, kita hanya mampu merancang sesuatu yang baik, namun semuanya dengan keizinan Tuhan, Dialah yang menentukan segala-galanya,” kata Siti yang seakan meminta media dan peminat terus berteka-teki.

Kata Siti lagi, dia tidak mahu mengimpikan perkahwinannya yang hebat.

“Saya tak nak berangan lebih-lebih apabila memperkatakan mengenai rancangan perkahwinan.

Kalau betul jodoh saya dah sampai, saya akan kahwin, tapi bila, saya tak tahu…” ujar Siti yang terlalu berhati-hati menyusun kata-kata.

Pun begitu, sebelum menempuh gerbang perkahwinan, adakah Siti seperti anak gadis lain sedia menikmati saat merisik dan bertunang sebelum diijabkabulkan?

“Memang saya tak pernah ada perancangan ke arah itu. Tapi, kalau sudah sampai masanya, pastinya setiap orang akan mengimpikan yang indahindah.

Sekiranya perkahwinan saya berlaku suatu hari nanti, biarlah perkahwinan itu memperoleh keberkatan berbanding perkahwinan yang dibuat secara besar-besaran,” jelasnya.

Tambah Siti, dia meminta media mahupun peminat supaya tidak terlalu mempercayai spekulasi.

Namun, Siti memberi jaminan, dia akan membuat pengumuman sekiranya sudah tiba masa dia mendirikan perkahwinan.

Apabila ditanya sama ada dia akan mengadakan sidang media atau sekurang-kurangnya mengirimkan faksimili kepada pihak media mengumumkan tarikh pernikahannya, sekali lagi jawapannya juga negatif.

“Inilah realiti yang perlu saya lalui. Selagi saya belum berkahwin, selagi itulah orang akan buat spekulasi. Kahwin, saya tentu kahwin, tapi tak tahu bila,” ujarnya.

Sementara itu, Siti bakal membawa lima anggota keluarganya termasuk ibunya untuk mengerjakan umrah di Tanah Suci. Kata Siti, mengikut perancangan awal, dia bakal menyambut Aidilfitri di Makkah.

“Insya-Allah selepas Aidilfitri ini, saya akan muncul dengan sebuah album studio terbaru,” ujarnya.

Info Siti:

# Siti Nurhaliza Taruddin dilahirkan pada 11 Januari 1979 dan berasal dari Kuala Lipis, Pahang.

# Anak kelima daripada lapan beradik ini mula dikenali ramai sejak memenangi pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) 1995.

# Antara lagu popularnya ialah Percayalah, Cindai, Nirmala, Purnama Merindu, Bukan Cinta Biasa, Dialah Di Hati dan Lagu Rindu. Manakala albumnya termasuklah Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu, Cindai, Adiwarna, Seri Balas, Sahmura, Safa, Emas dan Prasasti Seni.

# Siti ialah artis yang paling banyak menerima anugerah. Sehingga kini dia memiliki 129 anugerah.

# Antaranya ialah Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1996,1997,1998,1999, 2000, 2001 dan 2004. Terbaru, Siti menerima pengiktirafan dari The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai artis Malaysia pertama mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London, 1 April lalu.

# Iklan komersial yang pernah dijayakan Siti termasuklah Maybelline, Pepsi, TM Net, Blue, Hotlink dan Samsung.

# Terbaru, Siti tampil bersama VCD Siti Nurhaliza In Concert Royal Albert Hall, London yang diterbitkan penganjur konsert berkenaan, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd (SNP) dan Putrade Property Management Sdn Bhd. Ia sudah pun berada di pasaran mulai 10 Oktober lalu dan diedarkan oleh Suria Records Sdn Bhd (SRC) .

‘Terima kasih Darling…’

Oleh Osman Lisut

“PERKAHWINAN saya dengan Normala (Samsuddin) sesuatu yang membawa tuah kerana sejak berkahwin pada 25 Ogos hingga kini, kami berdua sering menjadi tumpuan media. Terima kasih Darling,” kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid.

WAJAH terbaru Azmi
dan Normala selepas
‘membina masjid’.

Beliau melafazkan penghargaan itu kepada isterinya, Datin Seri Normala Samsudin di hadapan kira-kira 200 tetamu termasuk wakil media serta 40 anak yatim yang menghadiri majlis berbuka puasa anjuran kementeriannya di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

“Pada malam ini, cukup ramai wakil media yang datang pada majlis saya. Saya ucapkan terima kasih kepada isteri saya,” katanya.

Pada malam itu, Azmi tersenyum lebar dan kelihatan segak mengenakan baju melayu bersamping sementara Normala pula anggun berbaju kurung dan berselendang.

Azmi ketika ditanya, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkahwinannya itu atas alasan tidak mahu menimbulkan salah faham di kalangan keluarga terdekatnya.

Azmi, 64, diijabkabulkan dengan Normala, 41, di rumah kenalan Azmi, di Taman Tun Dr Ismail, pada 25 Ogos lalu.

Perkahwinan itu berlangsung kira-kira lima bulan selepas isteri beliau, Allahyarham Datin Seri Yasmin Abdullah, 62, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 24 Mac lalu selepas setahun menderita penyakit leukemia.

Yasmin meninggalkan empat orang anak, Dr Soraya, Johan Mohriz, Ida Mariana dan Ilhan Salimee.

Ditanya mengenai kehidupannya selepas perkahwinan dengan Normala, Azmi sekadar mengucapkan syukur dan mengakui semuanya berada dalam keadaan baik.[BH]

Anda Tanya Doktor Jawab: Darah dari dubur tanda buasir

DOKTOR, saya dapati darah banyak keluar dari dubur apabila membuang air besar. Perkara ini berlaku beberapa hari dan pada hari keempat, darah yang keluar seperti darah haid. Apakah sebenarnya masalah ini dan mengapakah ia terjadi? Adakah ia buasir?

SITI ERMA,
Shah Alam

PERMASALAHAN pendarahan dari dubur boleh disebabkan oleh beberapa keadaan seperti:

1. Buasir
2. Anal fissure (luka pada dubur)
3. Terdapat polyp
4. Jangkitan pada usus
5. Barah

Anda dinasihatkan berjumpa doktor untuk pemeriksaan pada bahagian dubur untuk mengenal pasti punca pendarahan. Setelah puncanya dikenal pasti, barulah bentuk rawatan dan ubatan dapat diberikan.

Penyakit yang lazim menyebabkan pendarahan pada dubur ialah buasir. Buasir terjadi apabila terdapat saluran vena yang mengembang pada dubur dan lama kelamaan saluran ini akan membesar dan terkeluar daripada dubur. Beberapa faktor yang menyebabkan buasir:

1. Keturunan: buasir lazim berlaku pada ahli-ahli dalam satu keluarga. Keadaan ini mungkin disebabkan terdapatnya kelemahan pada dinding saluran vena. Masalah buasir biasa juga berlaku pada seseorang yang berpenyakit “varicose vein” kerana asas masalahnya adalah sama.

2. Terdapat faktor tekanan yang tinggi pada usus seperti meneran kuat semasa membuang najis iaitu ketika sembelit.

3. Dipercayai bahawa masalah buasir berkait rapat dengan cara/gaya pemakanan yang mengandungi serat yang rendah. Keadaan sebegini akan menggalakkan masalah sembelit.

Tanda-tanda buasir:

1. Pendarahan semasa membuang air besar. Tanda ini ialah tanda awal buasir (buasir tahap pertama). Lazimnya pendarahannya sedikit dan berwarna merah cerah. Seseorang mungkin menghidap masalah anaemia (kurang darah) jika pendarahan daripada buasir ini tidak dirawat.

2. Terdapat ketulan di dubur. Masalah ini berlaku apabila buasir menjadi lebih teruk daripada keadaan di atas. Pada mulanya ketulan ini hanya berlaku pada masa membuang air besar dan akan masuk semula ke dalam dubur dengan sendirinya setelah selesai membuang air besar. Apabila keadaan menjadi lebih teruk, ketulan ini menjadi tetap dan tidak masuk ke dalam dubur dengan sendirinya selepas selesai membuang air besar. Seseorang pesakit perlu memasukkan ketulan tersebut ke dalam dubur dengan jarinya. Tahap ini adalah buasir tahap kedua. Apabila ketulan menjadi tetap di bahagian dubur, tahap ini dikenali sebagai buasir tahap ketiga. Pada tahap ini pesakit sudah mula merasa tidak selesa dengan adanya ketulan pada dubur dan merasa berat pada dubur.

3. Terdapat cairan pada dubur apabila buasir sudah pada tahap ketiga. Cairan ini juga boleh menyebabkan kegatalan pada dubur.

4. Kesakitan apabila terdapat komplikasi seperti “thrombosis” ia itu darah beku dalam saluran vena.

Komplikasi buasir:

1. Anaemia
2. Pendarahan yang banyak
3. Thrombosis
4. Terdapat ulser pada buasir yang terkeluar.
5. Saluran darah tersekat oleh sphincter (strangulation) pada dubur dan boleh menyebabkan tisu pada dubur mati (gangrene).
6. Jangkitan pada buasir yang thrombosed.

Rawatan penyakit buasir ini bergantung pada tahap keparahan penyakit. Ada yang dirawat dengan ubat-ubatan dan bagi yang paling teruk, pembedahan dilakukan untuk membuang saluran vena yang bengkak.

Bagi mereka yang mempunyai masalah sembelit, eloklah mula mengubah cara makan dengan memastikan pengambilan makanan yang mempunyai kadar serat yang tinggi. Serat terdapat dalam makanan jenis buah-buahan dan sayur-sayuran. Di samping itu, pengambilan cairan perlu juga ditingkatkan. Pengambilan air diperlukan sekurang-kurangnya dua liter sehari.

Masalah sembelit lazim berlaku semasa hamil dan selepas bersalin kerana faktor fisiologi dan ditambah pula dengan kurangnya pengambilan cairan dan serat dalam makanan.

Pada bulan Ramadan yang mulia ini juga, pastikan kita berbuka dengan makanan yang baik, berkhasiat dan seimbang dan menjauhi pembaziran.

Pastikan pengambilan makanan yang mengandungi tinggi serat dan juga cairan yang secukupnya untuk mengelak daripada masalah sembelit. Untuk mendapat berkat Ramadan, berbukalah puasa dengan sederhana dan tidak perlu berlebihan dalam menggantikan pemakanan yang lazimnya diambil pada siang hari.

Dikirim dalam Uncategorized. 1 Comment »

Wanita dan Seks: Payu dara lembik selepas anak kedua

SAYA berumur 28 tahun dan telah mempunyai dua anak. Masalah saya ialah semasa anak saya bayi, saya menyusukan mereka. Saya dapati payu dara kini lembik dan mengecut. Bagaimana ini terjadi dan bagaimana hendak menjadikan payu dara kelihatan tegang dan gebu kembali. Adakah dengan cara menyuntik cologen ke alam payu dara selamat dan berapa kosnya.

Begitu juga dengan rekahan semasa mengandung, meninggalkan kesan hodoh pada kulit perut. Bagaimana untuk mengurangkan kesan rekahan itu?

AYU IRYANIS
Melalui e-mail

MEMPUNYAI payu dara yang tegap dan mantap idaman semua wanita. Ketegapan payu dara ada kaitan dengan umur, perubahan akibat kehamilan dan pemberian susu badan serta tahap kesihatan, pakaian dan sokongan yang diberi kepada payu dara, dan keadaan otot yang menampu payu dara. Tidak ada pil atau suntikan ajaib yng boleh memulihkan payu dara kecuali pembedahan. Begitupun, lambat laun juga payu dara akan kelihatan luntur akibat isian yang dimasukkan itu.

Ketumbesaran payu dara perempuan bermula dari peringkat baligh dengan pengeluaran hormon estrogen dan progestogen. Estrogen memberi bentuk dan struktur payu dara termasuk tisu elastik yang memberi bentuk kepada payu dara dan progestogen memantapkan pundi susu dan salur pundi susu. Bentuk dan saiz payu dara dipengaruhi baka. Walau bagaimanapun terdapat situsi yang mana payu dara boleh membesar dan kadangkala dalam keadaan tidak seimbang dan ini akibat ketumbesaran sel pepundi susu yang membiak secara ketara (glandulr hyperplasia) Jika ketumbesaran payu dara ketara, kulit payu dara menjadi padat dan boleh merekah. Perkara yang sama berlaku ketika wanita itu hamil dan memberi susu badan.

Sebilangan wanita mempunyai kulit yang daya elastiknya tinggi dan tidak mudah merekah. Mengunakan bahan pelembap sedikit sebanyak dapat mengurangkan kemerekahan kulit selain memakai pakaian dalam yang dapat menampung payu dara. Pundi susu yang aktif ketika mengandung dan semasa memberi susu badan memberi isian kepada payu dara. Apabila pundi susu tidak aktif lagi dan mengecut, isian dalam payu dara kurang dan ia akan kelihatan kempis. Perkara yang sama berlaku jika isian organik (lemak, sira dan sebagainya) dimasukkan ke dalam payu dara, kecuali pundi silikon atau saline. Masalahnya ialah apabila pundi tersebut bocor atau menekan tisu payu dara dan otot dada dan mengakibatkan pundi tersebut terkelur posisi dalam payu dara! Payu dara akan kelihatan lagi hodoh! Tidak ada satu kaedah yang mana kedudukan dan bentuk payu dara itu dapat diperbetulkan mengikut kepuasan diri kecuali melalui pembedahan dengan menggunakan pundi silikon atau salin. Urutan, suntikan, silikon dan menyedut tidak dapat memantapkan payu dara. Tidak ada ubat atau herba yang kononnya dapat memberi ketumbesaran kepada payu dara. Kebanyakan herba tersebut merangsangkan hormon dan secara tidak langsung merangsangkan payu dara. Dalam keadaan terangsang payu dara akan kelihatan mantap. Itu hanya berlaku seketika saja. Perubahan yang berlaku tidak tetap!

Lakukan senaman yang dapat memantapkan otot dada dan pastikan menggunakan pakaian dalam yang selesa yang dapat menampu payu dara. Gunakan krim atau loysen pelembap. Jangan bazirkan duit menggunakan krim dan loysen mahal yang tidak memberi apa-apa manfaat kecuali merugikan pengguna. Pakaian dalam yang memberi penampuan sesuai kepada payu dara yang seelok- eloknya satu pelaburan yang bijak daripada menggunakan segala kaedah yang tidak memanfaatkan.[Berita Harian]